Highlights
Tak Perlu Terlalu Mencuba Untuk ‘Blend In’ Dengan Keluarga Mertua. Jadi Diri Sendiri, Itulah Sebaiknya.
Kata orang usai berkahwin keluarga mentua juga sudah menjadi keluarga kita kerana kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan kita tetapi seluruh keluarganya. Pandai-pandailah bawa diri apabila masuk dalam keluarga baru. Bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek. Masuk kandang kerbau menguak. Usahakanlah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran. Kalaupun sudah diterima baik keluarga mentua, jangan pula abaikan dan lupa keluarga sendiri pula ya.
Kredit Foto: Huda Hussain
Fahami ‘Budaya’ Keluarga Mentua
Kerana kita tidak dibesarkan dalam satu modul atau acuan yang sama, maka dengan itu berbekalkan kemahiran dan pengalaman yang ada gunakanlah dan adaptasi sebaik mungkin. Fasa pertama berkahwin, ambil masa untuk kenali cara keluarga suami bersosial. Misalnya apa makanan kegemaran mereka, apakah mereka jenis yang suka berbual dan berkumpul beramai-ramai berjam-jam lamanya, gemar adakan majlis perjumpaan keluarga seperti barbeku, berkelah, percutian keluarga, pot luck dan lain-lain. Apakah keluarga mentua jenis yang suka berborak dengan suara yang kuat; hinggakan mungkin orang luar fikir mereka ini sebenarnya berbual atau bergaduh? Atau adakah mereka keluarga yang kecoh tetapi fun dan happening? Adakah mereka daripada keluarga yang sederhana, lemah lembut tutur katanya dan suka membawa haluan masing-masing serta banyak lagi perihal lain. Hal ini juga penting untuk anda kenal pasti supaya tidaklah nanti anda terkejut dengan cara mereka.
Hormati ‘Stail’ Mereka
Kalau pun mahu memperbetulkan apa jua yang tidak kena dengan pandangan mata anda, tegurlah secara berhemah. Atau paling mudah, berbincang dengan baik bersama pasangan anda. Maklum sajalah apabila dah ramai, pastilah banyak fahamannya. Abang ipar dengan cara begini, kakak ipar pula dengan stailnya tersendiri. Tetapi tidak mustahil untuk capai kata sepakat andai semuanya dibincang dengan cara yang baik, rasional dan profesional. Janganlah mahu ikut cara dan pendekatan anda seorang sahaja. Bimbang nanti timbul perselisihan faham pula. Tak pasal-pasal bermasam muka. Hubungan kekeluargaan ini bukannya sebulan dua. Sampai hujung nyawa tau! Justeru peliharalah sebaiknya.
Kredit Foto: Google
Usah Tunjuk Pandai Juga!
Kalau anda mahu tunjuk hebat, semua benda boleh buat jawabnya memang nahaslah! (Hahaha) Kalau ya pun, berpada-pada dan bersederhana sahaja sudah memadai. Just go with the flow. Tak perlu tunjuk pandai jauh sekali memandai-mandai. Maklum sajalah dalam hidup ini tak semua orang suka dengan apa yang kita lakukan. Kerana itulah fitrah manusia. Adatlah kalau ada yang terasa kerana mana mungkin kita mampu memuaskan hati semua orang. Oleh itu, relaks saja okey. Tapi janganlah malas atau buat-buat tak tahu semua benda. Cukup melayani keluarga suami seikhlas dan sejujurnya.
Terima Keluarga Mentua Seadanya
Janganlah membandingkan cara keluarga suami dengan keluarga anda dalam apa jua segi. Kaya, sederhana atau miskin bukan soal utama. Apa yang penting adalah keikhlasan hati dan ketulusan budi. Kerana percayalah tiada sebuah keluarga yang sempurna dalam dunia ini. Yang ada hanyalah keluarga yang menyempurnakan sesama sendiri. Adatlah manusia kan, takkan pernah sunyi dan habis daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Memang walau sebaik manapun kita mencuba pasti ada kekurangan atau cacat celanya di mana-mana. Justeru itu berlapang dada dan terima keluarga mentua seadanya. Ingat, kalau kita ikhlas orang lain pun boleh tahu daripada cara dan tingkah laku kita. Dan kalau kita tak ikhlas juga mereka boleh hidu perbuatan kita. Anggap sahaja apa yang kita lakukan untuk mengumpul pahala. Kan itu lebih baik?
Kredit Foto: Huda Hussain
Kekalkan Silaturahim
Waima apa jua yang berlaku dalam keluarga mentua, baik atau buruk sekalipun sesuatu perkara yang timbul; jangan sekali-kali memutuskan tali silaturahim. Tidak rugi kalau kita berbaik dengan semua orang. Walaupun tidak dihargai, percayalah ada mata yang memerhati. Jika anda atau pasangan dijemputNya terlebih dahulu, janganlah menjauhkan diri daripada keluarga mentua. Kerana zuriat anda juga adalah waris keturunan keluarga mereka. Soal darah daging dan pertalian keluarga jangan sesekali dibuat percaturan, perebutan lain-lain. Beringatlah, semua yang kita perbuat didunia ini akan ditanya tanggungjawabnya. Lantaran itu bersedialah untuk menanggung dan menjawabnya.
Jaga Tingkah Laku, Tak Perlu ‘Fake’
Ya memang dianjurkan jadilah diri sendiri apabila bercampur dengan keluarga mentua. Tetapi dalam masa sama jaga tingkah laku dan keperibadian anda. Namun jangan pula sampai anda perlu menjadi orang lain hanya semata-mata mahu diterima dalam keluarga mentua. Tak perlu terlalu mencuba untuk ambil hati keluarga mentua. Tak perlu bersusah payah ‘laburkan’ wang ringgit dan pelbagai unsur materi semata-mata untuk dipandang dan diangkat pada mata mereka. Tak perlu ada kasta. Misalnya keluarga sendiri dilebihkan, keluarga mentua sekadar ada sahaja. Memadai dengan kejujuran dan keluhuran hati melayani keluarga mentua. Layani keluarga mentua sebagaimana anda melayani keluarga sendiri. Itulah yang afdhal.