Penyampai radio Era Haniff Hamzah mahu memberikan sejumlah wang pendapatannya kepada mereka yang memerlukan terutamanya dalam bidang produksi dan penyiaran.

Menurut Haniff, dia sedar ramai yang hilang punca pencarian sejak wabak COVID-19 melanda negara terutamanya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diadakan.

“Saya plan bulan ni lepas bayar sewa and pinjaman semua tu, 60% daripada balance saya nak kongsi. Saya antara yang bernasib baik sebab majikan masih bayar gaji macam biasa. Cuma ada beberapa job pengacaraan majlis-majlis corporate yang dibatalkan.

“Bila saya sendiri pun ada tiga job emcee yang dibatalkan, saya terfikir macam mana pemuzik, kru majlis, produksi yang kerja gaji hari.

“Kita selalu harap jutawan dan orang kenamaan je yang tolong. Tapi kita yang biasa-biasa ni pun sebenarnya boleh tolong sikit-sikit,” ujar Haniff ketika dihubungi Gempak.

Tambah Haniff lagi, mereka yang memerlukan bantuan hanya perlu memohon bantuan menerusi ruangan mesej di Twitternya @Haniff_hamzah dan dia akan meneliti setiap masalah mereka tersebut.



“Harapan saya agar ramai akan bantu walaupun sumbangan yang diberikan kecil.

“Saya respect sangat orang yang bantu dari segi kudrat. Mereka yang keluar hantar makanan kat student,golongan gelandangan, frontliners, itu lebih bermakna dari wang ringgit tetapi apa-apa sahaja usaha kita pun diambil kira,” jelasnya.

Dia juga berharap agar masyarakat patuh pada PKP dan jangan pentingkan diri sendiri.

“Kita kena bersedia dari segi mental yang kita kena duduk rumah lama. Kita kena buat demi kelangsungan hidup kita,” ujarnya lagi.