Kalau di Malaysia, boleh dikatakan hampir setiap orang sudah mengenali bau durian. Mungkin ada yang tidak menggemarinya dan tidak tahan dengan baunya, namun ada yang sangat suka dengan bau dan rasanya.

Di Malaysia sahaja, durian dijadikan pelbagai bahan masakan lain seperti serawa durian dan juga di dalam manisan tradisional lainnya. Malahan, durian kini juga mula mendapat tempat dalam manisan moden seperti tart, crepe, aiskrim dan lain-lain lagi.

Pada 23 Jun yang lalu, kecoh di sebuah pejabat pos di Bandar Bavarian, Scheweinfurt, Jerman apabila 12 orang pekerja pos terpaksa mendapat rawatan dan ramai lagi terpaksa ke dibawa keluar.



Seluruh bangunan terpaksa dikosongkan, dengan 60 orang pekerja dipaksa meninggalkan pejabat pos sebelum pakej tersebut diperiksa.

"Kita tak mengetahui apa isi pakej tersebut, dan pada mulanya kita tidak pasti jika pakej itu mengandungi sesuatu yang berisiko tinggi," kata jurucakap polis Schweinfurt.

Menurut laporan CNN lagi, pakej tersebut mengandungi empat biji durian Thailand yang dihantar pulang oleh seorang penduduk bandar tersebut yang berumur 50 tahun daripada seorang temannya di Nuremberg.

Dr Che Puteh Osman yang merupakan pensyarah kanan dan penyelidikan dalam bidang kajian kimia hasilan semula jadi dari Univesiti Teknologi Mara (UiTM) ada penjelasan saintifik mengenainya.



Menurut beliau, durian mengandungi sebatian kimia yang mengandungi sulfur alkyl sulfides. Sebatian kimia ini jenis mudah meruap dan meninggalkan bau dalam udara di sekitarnya. Orang yang tidak biasa dengan bau durian boleh terkeliru dengan bau hydrogen disulfide, sejenis gas berbahaya.

"Selain sebatian kimia yang mengandungi sulfur, durian juga mengandungi sebatian kimia dari kelas ester yang memberikan bau wangi. Sesetengah durian kaya dengan sebatian kimia mengandungi sulfur manakala sesetengah durian kaya dengan sebatian kimia dari kelas ester.

"Terdapat juga sebatian kimia dari kelas aldehyde, ketone dan alcohol dalam kuantiti yang kecil di dalam buah durian," tambah Dr Che Puteh lagi di Twitter miliknya, @drcheputeh.

Melalui blog miliknya juga, www.drcheputeh.com, dia berkongsi bahawa durian mempunyai aroma yang dihasilkan oleh sebatian mudah meruap yang mempunyai sulfur dalam ikatan kimianya.



"Durian merupakan salah satu buah yang beraroma kuat, yang berbau seperti kobis terbakar, telur busuk, bersulfur tetapi dalam masa yang sama mempunyai bau manis seperti oak, walnut dan pelbagai gambaran aroma yang lain.

"Kajian mendapati 4 sebatian kimia utama yang menyumbang kepada bau buah durian adalah diethyl disulphide (1), diethyl trisulfide (2), ethyl 2-methylbutanoate (3) dan ethyl 2-methylpropanoate (4).

Dalam Siri 3 di blog Dr Che Puteh, dia juga bercerita tentang kenapa badan boleh berasa panas apabila kita makan durian.

Di Asia, durian tetap digelar raja segala buah untuk penduduk Asia Tenggara khasnya dan menjadi kegemaran ramai setiap kali musimnya tiba.



Namun begitu, kebanyakan hotel di seluruh asia juga turut melarang untuk membawa durian ke dalam bilik hotel. Sebenarnya, kita tidak perlu membawa ke bilik hotel kerana durian lebih enak dinikmati di tepi-tepi jalan dan di tempat jualannya sendiri.