Berita
“Aik Tak Boleh Jalan?” – Netizen Pertikai Pemandu Myvi Berkerusi Roda Ke Mahkamah
Pemandu Perodua Myvi yang menyebabkan kematian anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
Wanita berusia 23 tahun itu berdepan lima pertuduhan termasuk memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian, penyalahgunaan dadah serta tidak memiliki lesen memandu.
Bagaimana pun video rakaman tertuduh tiba di mahkamah dengan berkerusi roda telah mendapat perhatian warga maya.
Menerusi video laporan Kosmo itu tertuduh dibawa dengan kenderaan polis tiba di pekarangan mahkamah dan diiringi anggota trafik sebelum wanita itu ditolak dengan kerusi roda.
Rata-rata netizen mempertikaikan keadaan tertuduh dan ‘meluat’ melihat dia berkerusi roda sambil menutup penuh mukanya dengan ‘hoodie’ baju panas.
“Aik tak boleh jalan ke? Kau nak kena layan macam diva ke?,” komen salah seorang netizen.
“Cacat pula ke sampai pakai kerusi roda? Haritu kata hilang ingatan,” pertikai salah seorang warga maya.
“Tiba-tiba OKU (Orang Kelainan Upaya) pula dia. Masa melanggar orang tak OKU pula,” persoal seorang pengikut laman sosial.
Video tersebut dikongsi menerusi Instagram rasmi Kosmo.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi Sabtu lalu, pemandu, Honda Accord, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian setelah dirempuh kenderaan Perodua Myvi dipandu wanita berusia 23 tahun.
Pemandu itu kemudian ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu selain turut didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing.
Turut cedera dalam kemalangan tersebut, pemandu kereta Proton Iswara, Chang Ah May, 78.
Must-Watch Video