Pelakon Datuk Fizz Fairuz, 40, menyatakan isterinya, Datin Almy Nadia yang juga seorang aktres terpaksa menjalani pembedahan selepas terdapat darah beku pada rahim.

Kata Fizz, doktor terpaksa membersihkan rahim isterinya itu supaya peranakan tidak terjejas.



"Almy dia ada darah beku dekat rahim jadi kena buat pembedahan untuk buang supaya tidak menjejaskan peranakan dia.

"Jadi doktor buat keputusan untuk bersihkan rahim dia, takut nanti susah untuk mengandung lagi.

"Proses dia agak lama juga tadi, dari pukul 3.00 sampai 5.45 petang baru pembedahan selesai. Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar," katanya ketika dihubungi Gempak malam tadi.



Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin berkata pendarahan tersebut berlaku sejak dua hari sebelum sambutan Aidilfitri pada Ahad ketika isterinya berada di rumah.

"Pendarahan itu bermula sejak dua hari nak raya. Malam tu dia duduk kat sofa tetiba nampak darah mengalir dekat kaki. Dengan saya sekali terkejut..

"Saya tanya kenapa dia tak jawab terus menangis. Saya terus hubungi doktor dalam pukul 11 malam. Doktor minta saya ambil gambar darah tu nak tengok banyak ke tak.

"Bila doktor dah tengok, dia cakap tak ada apa yang merisaukan tapi keesokkan hari kena pergi hospital untuk buat pemeriksaan. Keadaan Almy selepas itu makin okey.

"Tapi pada hari raya pertama, dia berdarah balik sampai semalam. Muka Almy pucat sangat, langsung tak dapat tidur," katanya lagi.



Dalam pada itu, pelakon drama Jodoh-Jodoh Annisa berharap agar Allah memberikan kesembuhan kepada isterinya.

"Tadi saya tengok Almy dah stabil. Dia boleh bangun dan makan cuma masih rasa sakit lagi. Saya tak rasa apa yang Almy rasa, harapnya dia okey.

"Saya tak dibenarkan untuk teman dia dekat hospital. Orang lain nak datang melawat pun tak dibenarkan juga.

"Saya mohon doa daripada semua untuk mendoakan kesembuhan Almy," katanya menutup perbualan.

Sebelum ini, Fizz ada memuat naik sebuah rakaman video sebelum Almy menjalani pembedahan di Instagram (IG) miliknya.

Tc sayang.. papa tggu luar ok,sekejap jer.. kami doa yg baik2 ok..

A post shared by Dfizzfairuz ?? (@fizzfairuzofficial) on