Berita
Anak Terima Baik Hasrat Bapa Mahu Meninggal Dunia Di Tanah Suci
Dia anak bongsu daripada lapan adik beradik. Sibuk bekerja, sukar cuti kerana tugas sebagai askar, Fazrihin Bawi, 27, asalnya menolak untuk jadi pengiring bapanya, Bawi Solek, menjadi tetamu Allah bagi musim ini, walaupun diminta berkali-kali oleh bapanya itu.
Namun, selepas mendapat tawaran mengerjakan haji dan lulus pemeriksaan kesihatan, bapanya itu antara orang paling gembira dan tidak sabar-sabar terbang ke Tanah Suci untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Hasrat bapa
"Semasa di Tanah Suci, bapa saya bertukar jadi tidak ceria, bukan perwatakannya, ditanya sepatah, dijawab sepatah. Dengan rakan-rakannya juga begitu, tidak ceria. Jadi saya jadi pengiringnya, membawanya ke mana-mana dia mahu. Saya jadi teman bercerita, berkongsi apa sahaja.
"Begitu juga pada hari melontar, saya tanyakan jika bapa mahu melontar terlebih dahulu dan saya tinggalkan ibu, datang kemudian bawa ibu pula. Pada hari itu, saya ada tanyakan jika bapa saya sihat dan berupaya berjalan dari khemah jemaah untuk melontar di Mina. Kami melalui dua terowong sebelum bapa saya katakan dia letih. Saya gendongnya apabila dia kata tidak larat berjalan.
“Tetapi melepasi terowong kedua, bapa saya sudah jadi begitu tidak berdaya, sehingga saya terpaksa memangkunya di riba dan beberapa orang pembantu perubatan datang untuk bertanyakan jika saya dan bapa memerlukan sebarang bantuan," kata Fazrihin semasa ditemui di hotel penginapannya di Land Premium, Mekah.
Dia, yang berasal dari Kampung Hilir, Pusa, Sarawak, selanjutnya menceritakan, pembantu perubatan itu gagal mendapatkan kerusi roda sebagaimana diminta kerana bapanya itu sangat lemah untuk berjalan.
"Keadaan ketika itu sangat ramai orang, dan bapa saya masih sedar, tetapi memang tidak berdaya, yang saya ingat kemudiannya ada pasukan dari Lembaga Tabung Haji melakukan bantuan pernafasan (CPR) dan menyuruh saya pulang ke khemah terlebih dahulu.
"Saya pulang ke khemah dan setiap jam saya telefon pengurus maktab untuk bertanyakan keadaan bapa saya. Tetapi, pengurus maktab beritahu, bapa saya sudah tiada, meninggal dunia pada tarikh 17 Jun," ujarnya yang mengakui sukar menerima berita kematian bapanya yang disampaikan oleh pengurus maktab itu.
BERITA TRENDING: Astro Radio Anjur Ibadah Korban Bersama Siti Khadijah
BERITA TRENDING: Ini Sebabnya Kenapa Otot Daging Masih Bergerak-Gerak Walaupun Selepas Lembu Disembelih
BERITA TRENDING: Sabry Sembelih 23 Ekor Lembu Korban Sehari, Simpan 39 Koleksi Parang Khas - "Paling Mahal Harganya ..."
BERITA TRENDING: Korban Di Dalam Atau Luar Negara, Mana Lebih Afdal?
BERITA TRENDING: Israel Sekat Kemasukan Haiwan Korban Sempena Aidiladha Di Gaza
Ditanya apa yang menyebabkan dia kemudiannya boleh menerima baik kematian Bawi, dia berkata : "Saya teringat kata-katanya bahawa memang cita-cita bapa saya mahu mati di Tanah Suci. Dia (Allahyarham bapa) ada kongsi hasratnya itu dengan rakan-rakannya serta adik beradiknya. Dia ada kata, daripada mati di Malaysia, lebih baik mati di Mekah, jadi bila kenangkan itu, saya boleh terima baik kehilangannya."
Fazrihin berkongsi bahawa, dia adalah orangnya yang bersama Allahyarham bapanya semasa saat-saat akhir perjalanan hidupnya di dunia ini.
"Saya mandikan dia. Kafankan dia. Letakkan jasadnya di liang lahad. Dan, apabila saya lihat jasadnya tersenyum, saya tambah redha bahawa inilah yang terbaik untuk dia (bapa), jadi daripada sukar terima kehilangan itu, saya boleh terima baik, Alhamdulillah, memang cita-citanya mahu mati di Mekah jadi kenyataan," tambah Fazrihin.
Bawi ialah antara 14 jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia semasa musim haji tahun ini, di mana TH dalam kenyataannya menyebut, punca kematian Allahyarham ialah disebabkan terkena serangan jantung.
Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Shuhada, Mekah dan sempat berwukuf pada 9 Zulhijjah tetapi tidak sempat menyempurnakan ibadah melontar di tiga jamrah, yang merupakan wajib haji.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video