Sebagai rakan rapat, penyanyi popular era 1980-an, Datuk Azizul Khamis berkongsi pengalaman dan kenangan bersama Allahyarham pelakon dan pengacara terkenal Jaafar Onn.

BERITA TRENDING: Jaafar Onn Meninggal Dunia

Menurut Azizul, Jaafar atau mesra disapa sebagai Papa J banyak membantunya dari segi penampilan dan menganggap arwah seorang yang gemar bergurau senda.

“Pengalaman saya dengan arwah sejak saya melancarkan album pada 1985. Saya orang baharu ketika itu dan tak ada baju, jadi arwah yang sediakan baju sebab arwah nak saya nampak elok dan cantik.

“Banyak dah arwah tolong saya. Saya banyak kenangan bersama dia, bergurau dengan dia. Arwah juga suka bergurau dengan suruh saya pergi Singapura walaupun di hospital dia tetap bergurau perkara sama, tapi saya tak tahu apa ada di Singapura,” katanya kepada Gempak.

BERITA TRENDING: Jaafar Onn Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung Ketika Melalui Prosedur Endoskopi - “Doktor Ada Beritahu Berisiko Sebab…”

Azizul turut memberitahu dia sepatutnya mahu bertemu dengan Jaafar dua hari lalu namun arwah tidak membenarkan kerana keadaan rumah yang tidak selesa.

Biarpun terkilan tidak dapat bertemu namun Azizul tetap berasa berpuas hati apabila dapat berborak dengan arwah menerusi panggilan telefon.

“Sepatutnya dua hari lalu saya jumpa arwah, tapi dia tak bagi datang rumah dan suruh jumpa di Plaza Masalam, Shah Alam pada 6 April ini. Semalam baru dia ajak saya untuk pergi ke sana.

“Memang terasa pemergian arwah kali ini, bila tengok kawan-kawan kita pergi ia mengingat kita mengenai kematian. Saya terkilan tak dapat jumpa, tapi saya rasa puas sebab dapat berborak dengan dia melalui telefon.

“Walaupun tak dapat jumpa, dapat bercakap pun Alhamdulillah. Saya hendak minta maaf pada dia, tapi takut perkara itu sensitif sebab mungkin dia akan ingat sudah akan pergi.

“Ada baju-baju coat yang dia bagi saya masih pakai untuk buat persembahan. Dia juga memang cerewet dalam bab penampilan,” ujarnya.

PILIHAN PEMBACA: Cili Padi, Tyson & Bunga Matahari, Semua Generasi Punya Kenangan Dengan Allahyarham Jaafar Onn

Terdahulu, anak angkat kepada Jaafar Onn iaitu Mohd Hanif Mohd Hashim memberitahu Allahyarham meninggal dunia ketika sedang melalui prosedur endoskopi pada pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Menurut Hanif, doktor sudah memaklumkan bahawa prosedur tersebut sememangnya berisiko tinggi disebabkan jantung arwah ketika itu lemah.