Prihatin terhadap isu semasa berkaitan skim atau sindiket penipuan yang tidak berkesudahan, tiga penyanyi rap muda iaitu B-Heart, Kmy Kmo, dan Joe Sharel tampil dengan lagu berjudul Conlu17.

Lagu ini bertujuan untuk memberi ‘amaran’ kepada dalang penipuan yang semakin berleluasa di seluruh dunia sehingga ramai yang menjadi mangsa.

Tidak dinafikan, isu sebegini bukan saja terkena kepada orang biasa bahkan turut mensasarkan kepada golongan penggiat seni. Disebabkan itu, tiga anak muda ini berharap dapat mencetuskan kesedaran kepada ramai agar lebih serius mengambil berat tentang isu ini.

Menurut B-Heart, lagu ini ditulis olehnya sendiri bersama Kmy Kmo dan Joe Sharel.

“Single Conlu17 ditulis oleh saya sendiri bersama Kmy Kmo, dan Joe Sharel, manakala untuk proses belakang tabir pula, saya dan Rauzan banyak main peranan dalam penghasilannya.

"Mesej yang cuba disampaikan dalam single ini adalah mengenai ‘Con Man’ atau lebih dikenali sebagai individu atau kumpulan menggunakan tipu helah demi mengaut keuntungan untuk diri sendiri.

“Pada masa sama, lagu ini berperanan untuk memberi amaran kepada golongan tidak bertanggungjawab terutamanya yang cuba mengambil kesempatan terhadap periuk nasi artis-artis tempatan. Tidak dilupakan, liriknya juga sarat dengan unsur nasihat. Inspirasi lagu ini saya raih daripada sesetengah lagu yang saya dengari dan filem-filem pernah saya tonton sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, B-Heart juga mendedahkan tentang proses penghasilan lagu ini sudah bermula pada tahun 2017, namun terpaksa disimpan atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.

“Secara jujur penghasilan lagu ini sebenarnya disiapkan pada tahun 2017 namun terpaksa ‘diperap’ atas faktor tidak dapat dielakkan.

"Paling mencabar mengenai pembikinan lagu ini adalah persoalan sama ada ia masih relevan atau tidak untuk edaran semasa namun kami cabar diri dan ambil risiko itu.

“Secara keseluruhannya, kami perlu gubah keseluruhan lagu untuk menjadikan bunyinya lebih segar. Di situlah Rauzan memainkan peranan penting untuk memberikan sentuhan magisnya," katanya lagi.

Conlu17 boleh dimuat-turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music, KKBox.