Selepas tiga minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), bapa kepada penyanyi Azlan Typewriter, Sallehudin Che Ani, 68, menghembuskan nafas terakhir.

Azlan atau nama sebenarnya, Nor Azlan Roslee Sallehudin, 39, berkata, bapanya meninggal dunia jam 4.25 petang Rabu di Hospital Selayang akibat jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun kata Azlan saat paling menyedihkan apabila melihat detik terakhir pemergian bapanya menerusi panggilan video.

“Seperti yang saya bagitahu semalam (Selasa), mesin bantuan pernafasan akan dicabut bila-bila masa sahaja.

“Sungguhpun hati ini reda, namun saat paling menyedihkan apabila melihat Allahyarham ‘pergi’. Saya tak ada disamping dia tetapi pihak hospital beri kebenaran untuk melihat Allahyarham buat kali terakhir menerusi panggilan video.

“Kami adik-beradik mengiringi pemergian ayah menerusi video,” katanya sebak.

Tambah Azlan Allahyarham bapanya akan dikebumikan jam 10 pagi ini.

“Jenazah diuruskan pihak hospital dan akan dikebumikan pagi esok (Rabu). Kami akur kerana tidak dapat ikut sehingga ke tanah perkuburan kerana SOP Covid-19.

“Terima kasih kepada kawan-kawan yang mendoakan. Kepada pihak Hospital Selayang, terima kasih kerana menjaga bapa saya dengan baik sehingga ke hembusan nafas beliau yang terakhir,” katanya.