Viral

Bas Usang UM Jadi Penginapan Hipster Airbnb, Harga Serendah RM125 Untuk Satu Malam!

gempak
Azwa Rahman
08/07/2020
11:04 MYT
Sponsor Banner
Bas Usang UM Jadi Penginapan Hipster Airbnb, Harga Serendah RM125 Untuk Satu Malam!
Barang yang lama jangan dibuang kerana selain mempunyai nilai sentimental, mana tahu ia boleh digubah menjadi sesuatu yang lebih cantik.
Perkara yang sama dipraktikkan terhadap bas-bas lama milik Universiti Malaya (UM) ini. Cetusan idea asal daripada Bekas Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UM, Prof. Dr. Faisal Rafiq bin Mahamd Adikan ternyata memberikan nafas baru sebagai tempat penginapan.
Gempak berkesempatan menemubual Siti Norasiah daripada UM Water Warriors yang menguruskan Rumah No. 2 ini.
“Rumah No.2 dan juga bas adalah aset UM. Kami dipertanggungjawabkan untuk menjaganya. Tujuan bas ini menjadi Airbnb adalah untuk menjana pendapatan agar dapat menyokong inisiatif kelestarian UM.
“Kami bertuah kerana dapat bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan & Penyelengaraan Harta Benda (JPPHB) UM kerana mereka juga ingin pamerkan inisiatif kelestarian UM dan pada masa yang sama tunjukkan kreativiti staf UM dalam mengolah semula bas lama.
“Rasa sayang dengan bas lama UM yang sangat nostalgik,” ujar Asiah kepada Gempak.
Rumah No. 2 diuruskan oleh dua inisiatif Sekretariat UM Sustainability & Living Labs - Water Warriors dan The Rimba Project.
Dua badan inilah yang banyak melakukan inisiatif kelestarian untuk kampus UM dan salah satunya adalah untuk menyelamatkan bas-bas lama tersebut.
Mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan, bas ini pada asalnya terletak di dalam kampus UM dan agak jauh daripada Rumah No. 2.
“Bas tidak boleh bergerak kerana enjinnya telah rosak dah reput. Kami guna tow truck dan sewa crane yang panjang untuk angkat bas masuk dalam kompaun rumah, melepasi pokok-pokok sekitar dan kami pastikan pokok tadi tak musnah.
“Kami baru mula beroperasi jadi kami letak harga rendah dulu. Dalam RM125+ untuk satu malam (termasuk cleaning fee). Harga weekday dan weekend sama,” jelas Asiah lagi.
Tular di laman sosial, mereka tidak menyangka ramai bekas pelajar dan staff berkongsi kisah nostalgia masing-masing bersama bas tersebut.
“Ada yang kata pernah berlakon teater dalam bas, ada kata rasa takut bila bas naik bukit sebab takut bas reverse balik, ada yang cerita naik bas ni ke fieldwork, universiti lain dan macam-macam lagi.
“Kami sendiri tak sangka ramai orang akan minat dan share post ni sampai viral. Harapan kami agar orang ramai boleh sahut usaha kelestarian UM ni,” ujar Asiah di akhir perbualan.
Sumber foto: Facebook Rumah No. 2
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024