Hiburan
Belum Bertudung Selepas Pulang Tunai Umrah, Ifa Raziah Mohon Doa Peminat
Selebriti serba boleh, Ifa Raziah memohon agar diberikan masa untuk berhijrah agar perkara tersebut datang dari hati.
Baru sahaja pulang dari menunaikan ibadah Umrah dua minggu lalu, Ifa berharap agar netizen tidak memberikan tekanan untuk dirinya segera berhijab.
"Berhijrah memang mudah, tetapi untuk kekal istiqamah, ia bukan perkara yang mudah. Saya memohon masa agar penghijrahan itu benar-benar ikhlas dari jiwa.
"Saya berharap agar peminat sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk saya. Saya juga berusaha untuk mendekatkan diri ke arah kebaikan," kata Ifa.
Berangkat ke Makkah dan Madinah bersama suami, Mohd Yani serta anak lelaki mereka, Muhammad Shakir Aqili, Ifa tersentuh apabila dapat menyaksikan Kaabah dengan mata sendiri.
"Sebelum ini, saya hanya saksikan ia menerusi foto dan di kaca televisyen. Akhirnya, saya dapat melihat Kaabah dengan mata kepala sendiri.
"Perasaan itu sukar untuk saya ungkapkan. Saya rasa tersentuh dan sebak kerana diberikan peluang untuk melihat kebesaran Allah.
"Sebelum ini saya hairan, kenapa orang yang pernah ke Makkah dan Madinah rasa rindu untuk ke sana. Tetapi selepas menjejakkan kaki ke Tanah Suci, baru saya faham.
"Saya juga berharap agar dapat diberikan peluang dan rezeki untuk ke sana lagi bersama keluarga, Insya-Allah," kata Ifa lagi.
Must-Watch Video