Pelakon Farah Nabilah terkejut apabila ada pihak yang mendakwa dirinya telah mengedarkan kad jemputan perkahwinan.

Menurut Farah, dia juga berasa hairan dari mana datangnya khabar yang mengatakan dia bakal menamatkan zaman gadisn.

"Saya sendiri terkejut dan hairan, mengapa ada pihak yang menyebarkan khabar tentang berita perkahwinan saya.

"Namun begitu, saya anggap ia sebagai satu perkara yang positif, khabar itu boleh menjadi doa agar saya bertemu jodoh dengan cepat, namun buat masa ini saya masih belum mengedarkan sebarang kad jemputan perkahwinan,"
ujarnya.

Farah berkata demikian ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama pelakon drama bersiri yang dibintanginya iaitu Kau Yang Pertama di Taman Wahyu, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Sementara itu, Farah menjelaskan dia tidak akan berahsia sekiranya dia sudah mempunyai rancangan untuk berkahwin.

"Insya-Allah, jika saya benar-benar merancang untuk berkahwin, saya tidak akan berahsia.

"Saya akan kongsikan berita gembira itu dengan pihak media dan semua peminat,"
tambahnya.

Drama bersiri Kau Yang Pertama yang disiarkan di TV3 itu turut menampilkan Fikry Ibrahim yang digandikan bersama Farah.

Gandingan itu merupakan kali kedua mereka bekerjasama selepas muncul dalam drama Cik Reen Encik Ngok Ngek yang ditayangkan di saluran Astro tahun lalu.