Mungkin cerita kali ini sedikit peribadi pada awalnya. Tapi saya cuba untuk untuk bercerita dari perspaktif yang sedikit berbeza. Sudah hampir ke penghujung Syawal. Ada sikit rasa melankolik di situ.

Malam tadi saya hadir ke majlis jamuan bersama teman-teman. Ada di antara mereka saya sudah bersahabat lebih daripada 15 tahun, dan ada juga yang tidak selama itu.

Lama tidak berjumpa, tetapi seperti biasa saya cuba untuk 'pick up from where we left'. Itu lah yang selalu terjadi bila kita jarang berjumpa.

Cuma malam tadi ada perasaan lain yang menjentik di hati. Dalam usia yang semakin meningkat ini, keadaan pasti berubah. Kita selalu berfikir kita seperti orang yang sama, tapi sebenarnya ada yang berubah pada diri kita setiap hari.

Entah mengapa, setiap kali saya bersuara dan cuba menjadi seperti dulu, saya rasa seperti orang lain. Seolah-olah saya terlalu mencuba. 'Trying hard' kata orang putih. Saya tidak rasa seperti saya yang dulu.

Tetapi dalam keadaan sebegitu, saya dapat merasakan sesuatu yang berlainan kita mahu pulang ke rumah. Ketika bersalaman dan berpelukan memohon kemaafan sempena bulan yang mulia ini, saya dapat rasakan saya benar-benar ikhlas memohon kemaafan daripada setiap seorang daripada mereka.

Saya rasa lega. Lega selega-leganya! Saya rasa saya sudah membuat sesuatu untuk diri saya, memaafkan dan memohon maaf. Saya berharap setiap seorang daripada mereka juga dapat memaafkan saya.



Dalam kekalutan pelbagai cerita yang aneh-aneh berlaku pada industri seni kita sekarang ini, saya lebih cenderung kepada cerita maaf-bermaafan antara selebriti kita.

Keikhlasan hati tidak ada sesiapa yang tahu kecuali Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Tetapi sekurang-kurangnya apabila kita bermaaf-maafan, pasti ada sekelumit perasaan benar pada kata-kata kita.

Betul, saya sebak bila membaca entri Nourish memohon maaf kepada Nabila. Seorang yang lebih berusia, ibu tiri, membuang rasa 'lebih dewasa' untuk memohon maaf kepada anak tiri. Ya Allah, indahnya perasaan itu.

Meletakkan pelbagai rasa ke tepi demi sebuah ikatan kekeluargaan. Bukankah itu yang kita cari, kedamaian dalam hidup? Kesudiaan Nabila memaafkan dan memohon maaf juga satu kebesaran Allah SWT yang membuka hati mereka untuk sama-sama hidup bahagia.



Begitu juga kisah Datin Seri Umie Aida dan Erra Fazira. Mungkin bukan darah daging, tapi persahabatan yang dibina bukanlah dalam satu hari. Pasti ada saat-saat gembira dan menggembirakan.

Kisah Aliff Aziz yang ingin cuba berbaik-baik dengan bekas isterinya Bella juga bukan suatu perkara yang mustahil. Kadangkala kita lupa bahawa jodoh dan ajal itu hak Allah SWT. Siapa kita yang mahu menidakkan ketentuan-Nya.



Kita bukan semakin muda. Dan kita juga tahu pengakhiran kita di mana. Cuba selepas itu kita hanya bawa beberapa perkara sahaja termasuk amalan kita. Bukankah kita tidak mahu pengakhiran kita tanpa kemaafan sesama manusia?

Maaf, hari ini sedikit melankolik. Tetapi hanya cuma meluahkan apa yang saya rasa.

Selamat Hari Jumaat dan selamat berhujung minggu. Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Instagram

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.