Hiburan
"Bukan Nak Riak Atau Menunjuk" - Suami Kongsi Gambar Abby Abadi Solat Ketika Sakit, Doa Diampunkan Dosa
Suami kepada Abby Abadi, Faizal Zakaria memanjatkan doa agar dipermudahkan urusan isterinya yang kini sedang terlantar sakit di hospital.
Biarpun kudratnya masih lemah, Faizal atau mesra disapa Jai berkongsi keadaan terkini Abby yang tekad menunaikan solat fardu walaupun dalam keadaan lemah.
Menjelaskan situasi tersebut, kata Jai dia tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk kepada khalayak terutama pengikut sosial medianya.
"Dalam tekanan darah tak stabil, doktor suruh rehat, cinta hati saya tetap risau dan takut bila tak solat.
"Bukan nak riak atau menunjuk-nunjuk tetapi inilah pendirian yang beliau lakukan pada diriku ini.
"Walau sibuk mana sekali pun mesti solat, cari masjid. Hari Jumaat tetap kena solat Jumaat, usahakan cari masjid walaupun dalam perjalanan," tulis Jai.
Difahamkan juga, Abby kini sedang hamil enam bulan anak sulung mereka.
Dalam kesempatan sama, Jai turut menitipkan doa buat Abby yang ditahan di hospital sejak beberapa hari lalu kerana tekanan darah tinggi.
"Sayang...Syurga milikmu. Setiap saat saya sentiasa doakan agar diampunkan dosa-dosa sayang, diangkat darjat sayang bersama mereka yang beriman.
"Sayang tidak pernah ada dosa pun dengan saya walaupun sebesar zarah. Rehat ya sayang....jangan fikir yang bukan-bukan," tambahnya.
Abby sebelum ini pernah mengalami keguguran pada tahun 2016 kerana tekanan darah tinggi.
Pasangan itu berkahwin pada 14 Ogos 2015 dan mempunyai dua anak angkat, Muhammad Daiyan Fayyad dan Maisara Dayana Fathia yang dijaga sejak tahun lalu.
Must-Watch Video