Penyanyi rock lagenda, Datuk Awie mendedahkan dia telah berfikir semasak-masaknya sebelum memberitahu kepada isteri Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin mengenai hasratnya bergandingan dengan Erra Fazira.

Tambahan lagi, Erra merupakan wanita yang pernah bertakhta di hatinya 20 tahun lalu dan kisah cinta mereka disebut-sebut di serata Malaysia.

“Saya mengaku tak mudah untuk saya memberitahu kepada isteri mengenai hasrat saya ‘melamar’ Erra kerana saya tahu saya perlu menjaga hati banyak pihak.

“Bukan isteri sahaja, tetapi anak-anak termasuk seluruh ahli keluarga sebelah isteri dan seumpamanya.

“Tambahan lagi saya dan Erra pernah bertunang. Ya, walaupun huhungan itu sudah lama berakhir saya faham hati wanita, sedikit sebanyak pasti terdetik rasa cemburu.

“Mujur saya ada pengalaman macam mana nak handle situation macam ni sebelum ini, dan saya bersyukur kerana isteri sangat memahami dan memberi sepenuh sokongan dan kepercayaan kepada saya,” katanya ketawa.

*Awie & Erra, kisah cinta mereka antara yang paling 'epik' dalam sejarah industri hiburan tanah air*

Sementara itu, Erra pula berkata dia mengambil sedikit masa untuk menyatakan persetujuan menyertai konsert tersebut kerana memikirkan tentang beberapa faktor.

Apatah lagi selepas Awie memberitahu Konsert Romantika Awie bakal merungkai kisah cinta mereka 20 tahun lalu.

“Saya tak bagi kata putus tetapi ambil masa dan kami mengadakan pertemuan serta perbincangan terlebih dahulu.

“Selepas Awie jelaskan perjalanan konsert itu dengan lebih jelas, baru saya bersetuju. Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada isteri Awie kerana memberi keizinan kepada kami untuk bergandingan,” katanya.

Bercakap mengenai Konsert Awie Romantika, Datuk Awie atau lebih mesra dipanggil Awie berkata konsert tersebut akan mengimbau perjalanan kisah cintanya bersama Erra sehingga mereka berpisah.

Bukan kerana hendak menjual kisah cinta tetapi mahu menghentikan desas-desus serta fitnah mengenai hubungan mereka daripada terus bertebaran.

*Awie & Erra mahu hentikan spekulasi yang bertaburan mengenai punca perpisahan mereka*

“Selama ini pun, orang kata saya punca kami berpisah…Erra punca kami putus. Dalam konsert itu nanti akan terjawab segala-galanya.

“Saya harap selepas ini tidak ada lagi orang bertanya kepada saya atau Erra mengenai hubungan yang dah lama tak ada tu.

“Kami pun dah ada keluarga dan hidup masing-masing,” katanya kepada Gempak.

Awie dan Erra ditemui ketika majlis sidang media memperkenalkan Erra sebagai artis jemputan konsert berkenaan di Zebra Studio, Palace of The Golden Horses, petang Rabu.

Dalam pada itu, selepas tamat sidang media Awie dan kru merasmikan siri jelajah Zon Selatan dalam rangka mempromosikan konsert yang bakal berlangsung.

Siri Jelajah Zon Selatan bermula dari 4 hingga 7 Disember dan antara tempat yang akan dikunjungi ialah Giant Hypermarket Mall, Senawang, Menara Taming Sari, Melaka, Batu Pahat Mall, Banafee Village, Angsana JB Mall, Johor dan Singapura.

Konsert Romantika Awie yang bakal berlangsung pada 15 Februari tahun depan di Stadium Melawati, Shah Alam.

Tiket boleh didapati menerusi www.myticket.asia atau hubungi talian (03-86050195).

Tiket berharga RM78 (green zone), RM128 (purple zone), RM188 (yellow zone), RM238 (red zone), RM308 (grey zone) dan RM438 (vip zone).