Siapa sangka anggota kumpulan K-Clique, MK pernah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didudukinya.

MK mendapat 5 A dan 3 B dalam SPM dan pernah menuntut dalam pengajian diploma bidang perniagaan di UiTM, Kota Kinabalu, Sabah. dari tahun 2012 hingga 2015.

"Secara peribadi, saya anggap keputusan dan tahap pendidikan itu paling baik saya pernah capai. Saya percaya ada yang lebih bagus dan cemerlang.

"Ketika itu memang bersemangat membuktikan kepada keluarga yang saya boleh buat. Alhamdulilah ia menjadi kenangan manis untuk saya kenang," katanya.

Kecemerlangan MK di dalam akademik juga antara sebab dia dilantik sebagai duta pusat akademik dan tuisyen PTTI Group Sdn Bhd.

Walaupun ada yang mempertikaikan, namun Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Fana berkata, mereka ada alasan konkrit memilih MK.

"Dalam hidup ini, kita pantas menghukum. 'Dont judge a book by its cover'. Kami di PTTI ada sebab memilih MK.

"Umum tahu dia ada pengaruh besar dan hebat sebagai anak seni. Lihat saja bagaimana setiap entri di laman sosialnya mendapat perhatian dengan jumlah tanda suka dan tontonan ramai.

"Paling utama dia juga cukup cemerlang dalam bidang akademik. Mendapat keputusan SPM (5 A dan 3 B ) itu saya kira cukup hebat untuk anak muda berjiwa besar sepertinya," kata Cikgu Fana

Sementara itu MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata, dia juga tidak menyangka dan berasa tidak layak dipilih menjadi duta PTTI.

"Saya sendiri rasa ada calon lain yang lebih layak berbanding diri ini, tetapi rezeki tidak pernah salah alamat. Masa nak menerima lamaran PTTI ini pun saya ambil masa untuk menyatakan persetujuan.

"Saya percaya PTTI ada sebab dan alasan tersendiri memilih diri ini. Saya percaya dengan adunan pencapaian akademik dan sedikit pengaruh saya, matlamat mereka untuk mendekatkan diri dengan generasi baru iaitu pelajar SPM boleh dicapai," katanya.

Tambah anak kelahiran Tawau, Sabah itu lagi, peranan sebagai duta buat dirinya lebih bertanggungjawab.

“Saya sendiri dapat membentuk diri ini untuk menjadi lebih baik dan berdisiplin. Amanah ini akan dipikul sebaik mungkin," katanya yang mengikat setahun kontrak bersama PTTI.

Ditanya mengenai kontroversi memakai gelang dan rantai emas MK cuma memohon peminat mendoakan yang baik-baik.

"Tentang hal itu (tidak mahu memakai gelang emas), doa saja yang baik baik. Yang baik kita jadikan teladan dan buruk pula sebagai sempadan. Saya tak boleh nak kata ya atau tidak, takut memakan diri. Biarlah ia terjadi tanpa perlu dipukul canang.

"Cuma seiring usaha memperbaiki diri, saya cuba jadi lebih baik daripada sebelum ini. Karakter saya dalam dunia hiburan masih sama seperti dulu.

"Pastinya setiap sudut kecaman dan kritikan itu saya akan nilai. Yang mana perlu dielak, saya akan cuba mengelaknya termasuk dalam soal imej diri. Saya tak pernah sempurna.

"Di luar konteks kerja seni hiburan, saya tetap manusia biasa yang mahu mencari keseimbangan hidup," katanya.