Seramai kira-kira 40 peratus daripada individu yang mendapat temu janji dos penggalak di bawah Program Imunisasi COVID-19 (PICK) tidak hadir menerima suntikan tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi akaun Twitter milik beliau.

Katanya, sekiranya bilangan golongan yang menerima dos penggalak terus rendah, ia boleh meningkatkan jumlah kemasukan ke hospital.

"Kira-kira 40 peratus dari mereka yang mendapat temu janji PICK tidak hadir untuk mendapatkan suntikan.

"Jika pengambilan dos penggalak adalah rendah, terutama dalam golongan berusia dan mereka yang mempunyai komorbiditi, jumlah kemasukan ke hospital akan meningkat, ini sudah pasti.

"Jika anda dapat temu janji, ambil lah dos penggalak," kongsi beliau.

Untuk makluman, pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 telah bermula 13 Oktober lalu di seluruh negara.

Ia adalah untuk individu yang sudah divaksin lengkap bagi memastikan imuniti serta mengekalkannya untuk tempoh masa yang optimum.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!



Foto: BERNAMA