Selepas merekodkan bilangan kes harian empat angka sejak 13 November lalu, kes baharu positif COVID-19 di negara ini turun kepada tiga angka pada 660 kes dalam tempoh 24 jam lepas.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, perkembangan terbaharu itu menjadikan angka kumulatif positif COVID-19 di negara ini berjumlah 50,390 kes, dengan bilangan kes aktif pula sebanyak 12,814 kes.

Selain itu katanya, 630 kes pulih direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

"Daripada jumlah kes baharu itu, 656 kes adalah penularan dalam negara manakala empat lagi merupakan kes import yang mendapat jangkitan di Turki sebanyak dua kes, India (1) dan Arab Saudi (1).

"Bagi penularan dalam negara melibatkan kes-kes di Sabah sebanyak 387 kes, Selangor (139), Negeri Sembilan (31), Kuala Lumpur (29), Pulau Pinang (16), Perak (16), Labuan (13), Kedah (11), Melaka (4), Sarawak (3), Johor (3), Kelantan (3) dan Putrajaya (1)," katanya pada sidang akhbar perkembangan harian Covid-19 di sini hari ini.


Sumber: Bernama