Sebanyak 958 kes baharu dilaporkan, hari ini, dengan Sabah, Selangor dan Negeri Sembilan menyumbang angka tertinggi.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Sabah mencatat 512 jangkitan, manakala Selangor dan Negeri Sembilan pula masing-masing 153 kes.

Menurutnya, pertambahan jangkitan meliputi lima kes import itu menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia kini mencecah 52,638 dengan 13,221 kes aktif.

"Pelaporan kes positif yang tinggi di Sabah berpunca daripada pertambahan jangkitan bagi kluster, terutama Kluster Sabaru (149) dan peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat (196).

"Selangor dan Negeri Sembilan mencatatkan jumlah kes tinggi kerana pertambahan jangkitan dalam kluster sedia ada serta kluster baharu.

"Selain itu, 31 kes (3.2 peratus) dilaporkan hari ini adalah berkaitan kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara.

"Ia membabitkan Kluster Tembok (24), Kluster Penjara Seberang Perai (tiga), Kluster Rumah Merah (dua), Kluster Penjara Sandakan (satu) dan Kluster Penjara Kepayan (satu)," katanya pada sidang media COVID-19, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, 110 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 42 memerlukan bantuan pernafasan.

Tambahnya lagi, tiga kematian direkodkan, hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya ialah 329 kes (0.6 peratus).