Pelakon Lufya Omar telah mengadakan majlis sambutan hari lahir anaknya, Laana Haura yang ke-2 tahun semalam.

Namun majlis itu tidak dihadiri oleh suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum meskipun sudah diundang oleh Lufya.

Tidak berdiam diri, Lufya memberi penjelasan terhadap hal berkenaan.

"Saya ada ajak dia (suami), dia ada memberikan respon beritahu dia tak dapat datang, tidak mengapa, mungkin dia sibuk," ulas Lufya secara ringkas.

Bercakap mengenai kemelut rumah tangga yang sedang dihadapi, Lufya akui sudah melakukan yang terbaik dan menyerahkan segalanya kepada Tuhan.

"Kami memang sedang melalui masalah yang serius, tetapi saya dah lakukan yang terbaik dari diri saya.

"Saya beralah bukan bererti kalah, apa yang penting saya lakukan semuanya kerana Allah dan untuk anak saya juga," ujarnya.

Lufya berkata demikian ketika ditemui di majlis sambutan hari Lahir Laana Haura bertempat di Mutiara Damansara petang semalam.

Pada Isnin, Lufya terkejut selepas Hafiz enggan menceraikannya di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari.

BACA: Suami Enggan Cerai, Lufya Omar Terkejut

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof menetapkan 10 Disember depan bagi kedua-dua pihak hadir untuk sebutan semula kes dan melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kemelut rumah tangga mereka.

Terdahulu, Hafiz tidak hadir pada sebutan kes permohonan cerai mereka pada 16 Oktober lalu.

BACA: "Tiada Perkara Yang Ingin Saya Ulas..." - Suami Lufya Komen Isu Ketidakhadiran Ke Mahkamah

Kisah pergolakan rumah tangga mereka dihidu media pada Oktober tahun lalu hingga diperkatakan ramai.

Ada pihak mendakwa pasangan terbabit mahu berpisah. Namun, menerusi Instagram (IG), Lufya menjelaskan perkahwinan mereka masih utuh dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi.

Pada September lalu, rumah tangga pasangan ini kembali menjadi bualan apabila pelakon itu memuat naik status mendakwa suaminya tidak menjalankan tanggungjawab selepas tiga bulan berkahwin.

BACA: "Jangan Cakap Isteri Tak Tutup Aib Kalau Suami Tu Yang Buka Aib Di Dada!" - Lufya Dakwa Dianiaya Suami

BACA: Buat Laporan Polis, Dr Che Hafiz Nafi Tuduhan Lufya Omar

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Laana Haura yang kini hampir memasuki usia dua tahun.