Jika sebelum ini Stacy bermasam muka kerana lagu terbaru nyanyian suaminya bersama kumpulan The Majistret, kini Akim pula memberitahu hanya isterinya itu ‘Yang Satu’ dalam hidupnya.

Akim berkata demikian ketika melancarkan single terbaru Akim & The Majistret (ATM) berjudul ‘Yang Satu’ pada tarikh kelahiran isterinya, 18 Ogos lalu.

Tambah Akim, itulah hadiah bermakna daripada dirinya buat isteri tercinta dan berharap agar Stacy dapat menghayati setiap baris ayat dalam lagu tersebut.

“Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang mendambakan kasih sayang yang ikhlas dari kekasihnya. Bagi dirinya, hanya pasangannya sahaja yang memahami segala tentang dirinya.

“Kalau dalam kes saya, saya menyanyikan untuk isteri sayalah. Dialah ‘Yang Satu’ dalam hidup saya. Sebab itu, saya rasakan ia lebih manis lagi bila lagu ini dilancarkan pada hari ulang tahun kelahiran isteri saya.

“Inilah hadiah yang paling bermakna yang saya berikan buat isteri tercinta. Dan saya harap dapatlah isteri saya mengamati setiap baris ayat dalam lagu ini,” katanya kepada Gempak.

Lagu yang membawa genre pop balada ini merupakan hasil ciptaan Akim Ahmad dan Zimi yang masing-masing menggunakan nama pena, Hang Nadim dan Laq. Manakala lirik pula dikarang sepenuhnya oleh Hang Nadim.

‘Yang Satu’ diberikan gubahan muzik yang dinamik, bermula dengan petikan keyboard minimalis dan kemudiannya disusuli pula dengan iringan muzik yang disuntik elemen ‘New Wave Reggae’.

Berbekalkan melodi mesra telinga, alunan lunak merdu vokal Akim, senikata yang mengangkat tema cinta dan gubahan muzik tersendiri, ‘Yang Satu’ menjanjikan sajian muzik segar namun masih tetap mengekalkan ‘signature sound’ ATM.

“Single sebelum ini, ‘Rampas’ dan ‘Ladida’ bukanlah dalam kategori balada. Jadi untuk single kali ini, kami bersepakat untuk meletakkan unsur yang lebih ‘mellow’ dan berentak balada.

“Kami kira, inilah yang dinantikan pendengar. Lagipun sudah agak lama rentak sebegini kami tidak perdengarkan kepada mereka,” kaatanya.

‘Yang Satu’ merupakan single terbitan secara usahasama Rhythm & Rhyme Entertainment, syarikat rakaman milik Akim dan isterinya, penyanyi terkenal Stacy dan Nova Music Malaysia yang turut bertindak sebagai pengedar.

‘Yang Satu’ bakal ke udara di corong-corong radio seluruh negara dan juga boleh didapati di kesemua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes bermula 18 Ogos lalu.

Video lirik rasmi ‘Yang Satu’ juga kini boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.