Pengarah Ada Apa Dengan Dosa, Rahila Ali akui berdepan trauma untuk keluar rumah atau menerima tetamu selepas keluar dari wad akibat positif COVID-19.

Jelas Rahila, dia tidak pernah keluar rumah untuk selain sesekali ke halaman untuk menghirup udara luar.

"Saya trauma sebenarnya untuk keluar rumah atau terima tetamu dalam rumah.

"Saya takut saya menjadi punca orang dijangkiti COVID-19 disebabkan saya.

"Selepas keluar hospital saya mengurung diri dalam bilik selama dua minggu," kongsinya kepada Gempak.

Mengimbas semula kisah ketika dirawat kata Rahila dia seolah-olah terbayangkan kematian berada selangkah di hadapannya.

"COVID-19 bukan perkara main-main, selepas balik dari Scotland saya dikuarantin dan selepas seminggu disahkan positif.

"Sepanjang dirawat hari-hari saya menangis, badan saya lemah tak berdaya. Nak tengok telefon pun tak larat.

"Saya muntah tak berhenti-henti, tak mampu nak bangun dan badan lembik.

"Ada masanya saya terfikir entah-entah terus kena simpan dalam kubur, tak sempat tengok keluarga pun," tambahnya.

Tambah Rahila, sebahagian hati serta kedua-dua paru-paru kiri dan kanannya rosak disebabkan virus COVID-19.

"Mulanya rasa seperti ini malapetaka tetapi saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang terjadi," ujarnya.

Rahila dan beberapa kru serta pelakon drama bersiri Demi disahkan positif COVID-19 selepas pulang daripada menjalani penggambaran di Scotland pada April lalu.



Sementara itu, jangan lepaskan peluang menonton filem Ada Apa Dengan Dosa yang masih ditayangkan di saluran Astro First.

Filem yang diterbitkan oleh Pencil Pictures & Records itu dibintangi Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton Ada Apa Dengan Dosa selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem Ada Apa Dengan Dosa, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.