Cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob gembira apabila ada pihak berhasrat untuk memberikan tajaan selepas kisah dia dan isterinya ingin bersanding semula diperkatakan.

Fazley dan isteri, Datin Azrene Ahmad mahu mengadakan semula majlis persandingan mereka selepas 12 tahun berumah tangga.

"Alhamdulillah, selepas saya bercerita mengenai hasrat kami suami isteri untuk bersanding semula, ada pihak yang mahu memberi tajaan terhadap majlis itu kelak.

"Saya dan isteri rasa sangat berbesar hati kerana tujuan kami hanya ingin meraikan hari bahagia kami bersama keluarga, rakan-rakan rapat serta pihak media.

"Kami mahu menjamu tetamu yang hadir kerana kebanyakan mereka tak dapat datang pada majlis kami dahulu atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Tetapi semuanya belum diputuskan lagi," katanya.

Tambah Fazley, dia masih memilih tema dan tarikh sesuai untuk mengadakan majlis tersebut.

"Kami ingin mengadakannya pada 7 November atau mana-mana tarikh sesuai yang di minggu tersebut. Tetapi semuanya masih dalam fasa perancangan.

"Selain itu, kami juga sedang memilih tema sesuai untuk majlis tersebut. Dalam fikiran, mungkin kami akan bersanding bertemakan moden tradisional atau Bollywood," katanya lagi.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Fazley