Rata-rata rakyat Malaysia memang suka makan! Tak hairan setiap kali tibanya bulan puasa, bazar Ramadan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Setiap bandar di Malaysia sudah pasti menganjurkan bazar Ramadan tersendiri lebih-lebih lagi di Selangor.

Bagi yang tercari-cari bazar yang menjual pelbagai kuih-muih tradisional yang sedap, #FoodiesLife mengesyorkan untuk pergi ke Bazaar Bulatan Uniten dan cari gerai Popia Kuih Che Abang.

Perniagaan ini diusahakan oleh Mohammad Akbar Ramli, 54, dan isterinya, Norizah Hasan@Aziz, 48, sejak 11 tahun yang lalu.



Bermula dengan hanya menjual dua jenis kuih iaitu Popia Basah dan Popia Goreng, kini setiap hari mereka menjual hampir 30 aneka kuih-muih.

Menurut Akbar, bagi mengekalkan kualiti dan rasa setiap kuih, setiap hari sewal pagi isterinya akan menyediakan dengan menggunakan bahan-bahan mentah yang segar.

"Setiap hari isteri saya akan menyediakan kulit popia dan kuih-muih yang lain seperti tepung talam seawal 7.30 pagi. Resipi popia dan aneka Tepung Talam merupakan resipi turun-temurun.

"Semua bahan yang digunakan adalah segar dan diambil dari pemborong setiap hari. Ianya bertujuan untuk mengekalkan rasa serta mengelakkan kuih-muih tidak mudah basi," katanya.



Tambah Akbar, penangan keenakan kuih-muih Che Abang turut menjadi kegemaran ramai ahli politik negara sejak sekian lama.

"Sambutan dan permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan pelbagai latar belakang dan kaum.

"Kuih-muih kami sering ditempah untuk pelbagai acara termasuklah menyediakan kuih Kole Kacang di Dewan Parlimen," katanya lagi.




Selain beberapa orang pekerja, Akbar dan isteri juga dibantu oleh anak sulung mereka, Muhammad Aiman Mohamad Akbar, 22.

Untuk bulan Ramadan, gerai Popia Che Abang beroperasi bermula jam 1 petang hingga 7.30 malam.

Antara kuih-muih lain yang dijual adalah Sira, Seri Muka Pandan, Seri Muka Durian, Sagu Merah, Kaswi, Bingka Ubi Kayu, Lompang, Lopez, Talam Suji, Talam Pandan, Talam Ubi Kayu, Talam Berlauk Ayam, Talam Cendol, Talam Keladi, Tuahu Sumbat dan Tauhu Bergedil.

Berdasarkan rekod jualan, setiap hari mereka mampu menghasilkan 8 hingga 10 kilogram (kg) tepung bagi kulit Popia manakala bagi kuih Tepung Talam pula tersedia hampir 23 talam bersaiz besar.

Tapi jangan risau, kalau tak sempat datang masa bulan puasa, pada hari biasa pun tetap buka macam biasa iaitu pada setiap hari Selasa hingga Ahad.

Selain di Bazaar Bulatan Uniten, Popia Kuih Che Abang juga mempunyai cawangan di Cheras Jaya, Selangor.