Sekitar tahun 2011, sekumpulan gadis tempatan memperkenalkan diri mereka dengan imej seksi seolah meniru gaya artis K-Pop.

Kumpulan gadis-gadis genit ini bermula selepas bakat mereka dicungkil menerusi syarikat Eight Tones Communications Sdn Bhd.

Mengambil kejayaan artis wanita Korea seperti Wonder Girls dan 4Minute, perjuangan seni mereka tidak bertahan lama apabila kini masing-masing sudah membawa haluan sendiri.

Menurut pengurusan kumpulan itu kepada Astro Gempak, anggota kumpulan ini berdepan masalah disiplin selepas menjadi selebriti.

Ujarnya, ketika 6 anggota kumpulan ini disatukan menjadi sebuah kumpulan, mereka tidak menimbulkan sebarang masalah apatah lagi masing-masing masih status solo dan tidak mempunyai sebarang komitmen peribadi.

Bagaimanapun, selepas menjadi artis mereka mula berubah perangai dan menunjukkan masalah disiplin untuk bersatu dalam satu kumpulan.

Begitu juga, imej seksi yang dibawa kumpulan ini tidak disenangi segelintir penganjur yang bertindak membatalkan persembahan mereka di saat akhir.

Difahamkan, anggota kumpulan ini sudah membawa haluan sendiri dan ada yang sudah berumah tangga.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: FB - The Official of Gula Gula