Pelakon Korea popular, Ji Chang Wook akui drama ‘Suspicious Partner’ merupakan projek terakhirnya sebelum menjalani latihan ketenteraan.

Kata aktor kacak berusia 30 tahun ini, dia menganggap wataknya sebagai Noh Ji Wook paling bermakna buat dirinya kerana pertama kali membintangi drama bergenre romantik komedi.

“Suspicious Partner amat bermakna untuk saya dan merupakan projek terakhir sebelum menjalani ketenteraan.

“Saya akui banyak kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan sepanjang penggambaran drama tersebut. Bekerjasama dengan tenaga produksi dan juga pelakon-pelakon drama itu juga amat menyeronokkan.

“Jadi memang saya rasa agak sedih selepas penggambaran projek ini selesai,” katanya seperti yang dilapor Soompi.

Mengulas mengenai latihan ketenteraan, Ji Chang Wook berjanji untuk kembali dengan projek yang baru selepas tamat latihan kelak.

“Tidak lama lagi saya akan menjalani latihan pada 14 Ogos depan dan saya akan mencuba sedaya upaya untuk melakukan tugasan yang diberikan.

“Saya berjanji akan menjaga kesihatan dan kembali bertemu peminat dengan projek yang bagus selepas tamat latihan nanti.

“Jadi saya harap peminat sanggu menunggu saya dalam tempoh setahun sembilan bulan.

“Perancangan saya sekarang adalah menghabiskan jadual kerja dan meluangkan masa untuk diri saya sendiri.

“Saya juga perlu membuat sedikit persediaaan sebelum tarikh kemasukan saya pada 14 Ogos nanti,” jelasnya.