Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali dengan single terbaru berjudul Terang.

Menurut selebriti yang lebih mesra disapa dengan nama Tokti, dia sememangnya mencari lagu berentak 60-an untuk dimuatkan di dalam album terbaru yang dijangka akan menemui peminat pada awal tahun 2020.

“Sebelum lagu ini dilancarkan, idea asalnya untuk saya berduet dengan Allyarham Datuk A. Rahman Hassan tapi tiada rezeki. Saya teruskan juga niat nak cari lagu yang berbeza daripada yang saya pernah bawa.

“Pada masa itulah kebetulan Aubrey datang dan bagi saya dengar lagu ni. Pertama kali saya dengar lagu ni, saya terus suka. Lagu ini ada unsur-unsur 60-an, catchy dan melodinya terus menyerap,” jelas Tokti kepada Gempak.

Tokti ditemui pada majlis pelancaran kempen Simplysiti Di Hati 2019 bertempat di Hotel New World, Petaling Jaya pada Rabu.

Single terbaharu saya berjudul TERANG akan mula berada di seluruh pelantar digital/streaming pada 1 November 2019. . Single saya terpilih sebagai lagu kempen SIMPLYSITI DI HATI untuk membantu kanak-kanak pesakit jantung menjalani pembedahan. . @universalmusic_my @aubrey_suwito @shah_shamshiri Video:@rasafilm_ . #Terang #SimplySitiDiHati2019

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk) on


Lagu Terang mendapat sentuhan Aubrey Suwito sebagai komposer dan Shah Shamshiri sebagai penulis lirik.

Dengan liriknya yang menerapkan elemen positif, lagu ini turut dijadikan lagu tema bagi kempen tersebut.

“Memang secara kebetulan pihak Simplysiti sedang mencari lagu tema untuk digunakan sempena kempen tahun ni. Bila saya tengok pada lirik, memang kena sangat.

“Terus saya rakamkan lagu ni sebaik sahaja pulang daripada konsert di Adelaide, Australia,” ujar Siti lagi.

Tanpa ada sebarang gimik atau majlis pelancaran, lagu ini pertama kali diperdengarkan kepada umum sewaktu siaran langsung program MeleTOP pada Selasa.
Lagu Terang bakal tersedia di semua platfom digital bermula esok.