Sejak beberapa hari lalu, kecoh di laman sosial berkenaan dengan penyitaan kedai manisan timur tengah yang terletak di Bukit Bintang, berhadapan dengan pusat beli-belah Lot10, Kuala Lumpur.

Pernah beberapa kali viral disebabkan aksi kurang molek orang awam yang berinteraksi dengan peniaga kedai berkenaan, ramai beranggapan kedai yang menjual pelbagai manisan itu disita disebabkan aksi-aksi viral berkenaan.

Namun, menerusi kemas kini di Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini, penyitaan dilakukan kerana premis berkenaan tidak mempunyai lesen yang sah untuk sebarang aktiviti menjaja.

Premis tersebut hanya mempunyai Lesen Hiburan Semasa (Promosi Luar Bangunan), selain aktiviti perniagaan turut dikendalikan oleh warga asing tanpa permit yang sah.

Susulan daripada hasil pemantauan tersebut, sebuah operasi penguatkuasaan telah dijalankan pada 19 Ogos di premis terbabit.

Dalam operasi yang dijalankan, satu notis kompaun telah dikeluarkan di bawah UUK3 (1) UUK Pelesenan Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah dari DBKL dan premis tersebut turut diambil tindakan tutup serta merta (SEALED) di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Selain itu, dalam operasi yang sama, DBKL turut menjalankan operasi penguatkuasaan di sebuah premis yang lain. Hasil pemantauan yang telah dijalankan mendapati premis tersebut telah meletakkan dua meja kayu bulat dan empat kerusi di atas siar kaki di tempat awam tanpa kebenaran DBKL.

Sehubungan dengan itu, DBKL telah mengeluarkan satu notis kompaun serta membuat sitaan terhadap kerusi meja tersebut yang telah menyebabkan halangan di tempat awam di bawah Seksyen 46 (1)(d) Akta Jalan Parit dan Banggunan 1974.

Sumber: Facebook

BACA: “Sajat Masih Boleh Diisytihar Bankrap & Harta Di Australia Boleh Disita Jika…” – Peguam​

BACA: Harta Disita Gara-Gara Adik Sendiri, Irwansyah Tarik Balik Laporan Polis?​