Menyandang gelaran duda selama hampir tiga tahun, pelawak dan penyampai radio Issey
Fazlisham masih belum bertemu pengganti.

Tidak bersifat memilih, Issey mengharap agar dia dikurniakan seorang wanita yang
memahami kariernya sebagai anak seni.

"Sejujurnya, saya tak memilih. Cukup kalau dia merupakan seorang yang baik dan sedap
mata memandang. Apa yang paling penting, dia mesti memahami kerjaya saya sebagai
pelakon, penyampai radio dan pelawak.

"Kalau boleh, saya mahu elakkan orang yang datang dari industri seni. Biarlah jodoh
saya nanti datang dari dunia berbeza.

"Sekurang-kurangnya, kami mempunyai perbezaan dan boleh melengkapi satu sama lain,"
kata penyampai radio Suria ini.

Tambah Issey, dia juga tidak menolak jodoh dari kalangan janda atau ibu tunggal.

"Bagi saya, status bukan penghalang. Saya tak tolak jika berjodoh dengan wanita yang
bergelar janda. Janda saya terima, ibu tunggal juga saya boleh terima.

"Saya bersifat terbuka, asalkan bakal jodoh nanti mempunyai sifat yang memahami,"
katanya lagi.

Issey pernah mendirikan rumah tangga dengan Syuhadaa Syafiqqa Abdul Rashid pada 19 Mac
2015 dan berpisah pada 21 Ogos 2016.