Seorang lagi selebriti, iaitu pelakon kerdil Badrol Shah berkongsi khabar duka mengenai pemergian isterinya semalam.

Menurut Badrol, isterinya Farah Sheila Mazlan meninggal dunia pada pukul 1 petang Selasa selepas lapan hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Badrol turut memaklumkan isterinya Allahyarham isterinya dijangkiti Virus Covid-19 varian Delta pada 20 Julai lalu.

Berita dukacita tersebut turut dikongsi Badrol menerusi hantaran di laman sosial Facebook (FB).

“Isteri saya Farah Shiela dah tiada. Allah lebih sayang kamu. Masuklah kamu ke dalam syurga bersama anak kita,” tulisnya.



Bagaimanapun Gempak difahamkan, isterinya tidak hamil seperti yang disangka warganet.

“Isteri pernah keguguran anak pertama kami pada 2018 ketika kandungan berusia lima bulan. Anak kami menunggu di pintu syurga,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Gempak di FB Badrol mendapati ramai rakan-rakan memberikan kata-kata semangat supaya pelakon tersebut tabah menghadapi dugaan ini.

Badrol berkahwin dengan Farah Sheila pada 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan Putri Da’aiyatul Insyirah, 2.

Allahyarham turut meninggalkan tiga anak perempuan berusia 7 hingga 12 tahun daripada hasil perkahwinan terdahulu dalam jagaan Badrol.