Statistik kes baharu COVID-19 berkemungkinan meruncing dengan unjuran 8,000 kes sehari seawal minggu ketiga Mac depan, sekiranya nilai kebolehjangkitan (RO) melepasi kadar 1.2.

Kementerian Kesihatan (KKM) meramalkan gelombang ketiga pandemik itu boleh meningkat secara mendadak kepada 5,000 kes harian menjelang minggu ketiga Februari dan terus melonjak pada Mac jika RO kekal pada tahap 1.2.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menegaskan adalah penting RO diturunkan kepada nilai atau kurang daripada 0.5 untuk mengawal jangkitan sepenuhnya.

"Jika RO meningkat pada kadar 1.2, kes harian COVID-19 boleh mencecah 3,000 kes pada minggu keempat bulan ini, namun statistik itu mungkin bermula pada minggu kedua Februari jika RO ialah pada 1.1," katanya menerusi sebuah kenyataan.

Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikekalkan dengan RO dicatat pada kadar 1.1, unjuran kebolehjangkitan COVID-19 mencecah 8,000 kes sehari dapat diperlahankan sehingga minggu kedua Mei.

Sehingga 5 Januari lalu, RO COVID-19 di negara ini berada pada paras 1.07.

Sumber: Astro Awani, BH Online