Penyanyi Marsha Milan Londoh tidak menafikan keperluan gimik pada masa kini untuk seseorang penyanyi mempromosikan produk terbaharu.

Bagaimanapun, Marsha menyelar tindakan penyanyi membuat gimik sehingga memalukan diri sendiri.

“Saya rasa gimik itu perlu dan sudah menjadi trend untuk mempromosikan lagu, cuma sekarang kalau saya nak gunakan konsep itu kena tengok juga dengan kesesuaian lagu.

“Misalnya lagu Bimbang, ia kurang sesuai untuk dibuat gimik sebab bukan lagi berentak laju.


“Kadang-kadang rasa geram juga kenapa perlu gimik sebegitu untuk melancarkan lagu.

“Itu akan refleks kepada kredibiliti seseorang penyanyi, kalau boleh saya tak mahu.

“Saya tak adalah lama sangat dalam industri ini tetapi saya tahu apa yang bagus untuk saya.

“Jadi, sebaik-baiknya saya akan berbincang dahulu dengan pengurusan untuk ‘jual diri’ secara positif,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharu, Bimbang di The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lagu Bimbang ciptaan Farouk Roman dan Amylea Azizan ini merupakan salah satu daripada lagu yang dimuatkan untuk ost drama bersiri Nur 2.