Penyanyi dan pengarah Yusry Abdul Halim memberitahu bahawa dia tidak mempunyai sebarang perancangan khusus sama ada ingin menambah bilangan cahaya mata atau tidak.

Menurut Yusry, 47, buat masa ini, dia sudah bersyukur dengan kurniaan sepasang cahaya mata yang sudah menjadi penyeri dan pelengkap dalam kehidupannya.

"Selalunya macam tu lah, dah dapat sepasang, alhamdulillah, syukur. Tapi sebenarnya, saya tidak adalah merancang ke apa, dan pada masa sama, saya tidak beria-beria nak mencuba (tambah anak).

"Kalau ada, ada lah. Nak cakap dah tak nak pun tak boleh juga sebab itu rezeki," katanya kepada Gempak ketika ditemui sewaktu sidang media I Can See Your Voice musim ketiga di Petaling Jaya, Selangor semalam.



Pada masa sama, kata Yusry, terdapat faktor lain juga yang menjadi pertimbangannya sebelum ingin memiliki sebuah keluarga yang lebih besar.

Antaranya termasuklah dirinya yang dirasakan sudah semakin berusia.

"Sekarang ini, fikir faktor usia juga. Tahun ini saya dah masuk umur 47 tahun. Kalau sekarang ada anak lagi, ketika dia usia 20 tahun, saya dah 67 tahun pada masa itu.

"Saya fikir masa depan, siapa nak bayar yuran universiti dan sebagainya. Benda-benda macam tu. Lainlah kalau masa tu saya boleh bekerja. Dibuatnya entah-entah saya pun tiada dah," katanya.

Yusry mendirikan rumah tangga dengan Lisa Surihani, 34, pada 23 Februari 2013.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Yahaira Leanne, 5 dan Yusof Leonne, 3.