Penyanyi dan juga pelakon, Elyana meluahkan rasa kecewanya apabila menerima soalan tidak berasas di ruangan komen Instagram miliknya.

Elyana berkongsi kekecewaannya itu apabila ada haters yang bertanyakan soalan 'bila nak mati?' selepas Elyana didiagnos menghidap kanser limfoma tahap empat sejak tujuh tahun lalu.

“Saya ni manusia biasa. Cuba bayangkan kalau anda pun, orang kecam, orang hina, orang tanya bila nak mati, apa yang anda rasa? Saya pun rasa benda yang sama.

“Lagi-lagi bila saya tengah sakit, otak tengah kacau, dapat benda-benda macam tu memang akan memberikan kesan negatif," luahnya ketika ditemui di majlis sidang media konsertnya semalam.

Tetap bersemangat dan kuat mengharungi penderitaan, Elyana mahu semua pejuang kanser yang lain tahu bahawa sakit itu bukan pengakhiran hidup.

“Jangan asingkan diri dan teruslah hidup seperti biasa. Saya banyak belajar sepanjang saya sakit ni hingga saya tak hairan dah dengan cakap-cakap haters sebab saya tahu, kita tak akan mati dengan cacian orang," katanya lagi.

Mahu membuktikan dirinya bangkit melawan kesakitan dan penderitaan kanser, Elyana akan kembali dengan konsert ‘Elyana “Jadi Diriku 19” Live In Concert’ pada 6 Julai 2019 di Bentley Music Auditorium, Damansara.