Selepas memegang jawatan sebagai presiden Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan presiden Kelab Motosikal Spark Malaysia, pelakon, Zul Huzaimy Marzuki kini memasang hasrat untuk menjadi wakil rakyat.

Menurut Zul, kali terakhir insan seni yang membabitkan dalam dunia politik adalah Allahyarham, Tan Sri Jins Shamsuddin.

"Peranan Allahyarham sebagai senator tidak diganti dan apabila saya semak hanya ada wakil pesilat. Jadi suara anak seni kreatif tidak didengarkan dan dibawa ke dalam dewan.

"Jadi, saya terpanggil untuk berbuat sejak ketiadaan Tan Sri Jins Shamsuddin yang meninggal dunia dua tahun lalu," katanya.

Jelas Zul, penggiat seni hari ini mungkin boleh menarik nafas lega apabila Ahmad Idham dan Datuk Hans Isaac dipilih menaungi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam skop filem.

"Namun persoalannya bahagian seni kreatif lain di mana? Banyak lagi cabang kreatif lain.

"Jika ada ruang dia pasti akan bertanding kerana niatnya mahu membela kebajikan anak-anak seni. Saya fikirkan kenapa tidak saya bantu anak-anak seni dari sini," katanya.

Zul berkata demikian ketika majlis sidang media ASBP di Royal Theatre Shah Alam, baru-baru ini.

Terdahulu, Zul dinobatkan sebagai juara musim pertama ASBP sekali gus membawa pulang hadiah paling lumayan berupa wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Naib juara pula milik Noorkhiriah dengan hadiah bernilai RM25,000 berserta trofi.

Tempat ketiga dan keempat pula milik Datuk Aaron Aziz dan Rita Rudaini masing-masing membawa RM 10,000 dan RM 5,000 berserta trofi.

BACA: Zul Huzaimy Juara All Stars Buka Panggung, Bawa Pulang RM50,000