Baru-baru ini tular di media sosial kononnya seorang individu yang juga pembantu tukang masak dikenakan kompaun RM10,000.

Dakwaan lelaki tersebut kononnya telah dikompaun ketika keluar ke lorong belakang kedai untuk menghisap rokok, menimbulkan kemarahan orang ramai.

Individu itu juga dikatakan berada dalam keadaan buntu dan tidak mampu menghantar wang bulanan kepada ibu yang sakit kerana terpaksa berhutang membayar saman selain gaji sudah dipotong.

Menerusi kenyataan dikeluarkan polis, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kompaun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terhadap tukang masak seperti mana tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, pihaknya menjalankan siasatan susulan satu isu pertikaian berkenaan kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang berlaku di Kampung Rapat, Ipoh.

"Semakan pihak kami mendapati tiada kompaun sebegini dikeluarkan oleh pasukan pemeriksa SOP PKPB polis daerah Ipoh.

"Semakan lanjut dengan pemilik akaun 'Kuan Chee Heng' juga mendapati bahawa pengadu gagal dihubungi melalui nombor telefon yang diberikan oleh pemilik akaun laman sosial itu," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas A Asmadi, susulan itu juga satu laporan polis dibuat oleh Ketua Polis Balai Kampung Rapat berhubung insiden tular berkenaan.

"Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa peka dan mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

"Dalam perkara sebegini, diharapkan agar segala permasalahan, pertikaian, maklum balas mengenai tindakan undang-undang oleh pihak polis disalurkan melalui saluran yang betul dan bukan disebarkan sewenang-wenangnya melalui media sosial tanpa disokong oleh fakta sebenar," katanya.

Sumber : Harian Metro