Pemain skuad Harimau Buta negara dan juga pelakon filem Eye On The Ball (EOTB), Rollen Marakim masih terkenang pada kegusaran ibu bapanya apabila pertama kali dia merantau ke Kuala Lumpur bagi memenuhi cita-cita dalam sukan bola sepak.

Menurut Rollen, 30, seluruh ahli keluarganya sangat risau apabila dia mula-mula menjejakkan kaki ke ibu kota bagi membuktikan dia juga boleh bergelar manusia berjaya walaupun kelainan upaya.

“Bila saya ke Kuala Lumpur pada mulanya, ibu bapa saya takut ada orang akan buat jahat pada saya dan risau saya sesat memandangkan saya tidak dapat melihat.

“Tetapi ibu bapa saya tidak pernah mengabaikan saya. Mereka memberikan pendidikan yang sebaiknya supaya saya ada tempat bergantung apabila mereka berdua tidak ada nanti,” katanya menerusi satu video yang dikongsi oleh Astro Shaw.

Rollen merupakan satu-satunya pemain yang tidak pernah menikmati penglihatan.

Membesar di negeri Sabah, keluarganya mula menyedari yang Rollen buta ketika berusia 3 tahun apabila dia berlari ke arah lampu pelita dan hampir menyebabkan rumahnya terbakar.

Dalam keadaan terpaksa, keluarga Rollen menghantarnya ke bandar untuk Rollen mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang lebih baik.

Selain bergelar pemain bola sepak cacat penglihatan kebangsaan, Rollen turut bergelar operator telefon untuk orang cacat penglihatan di ibu kota.

Dokumentari EOTB menceritakan kisah suka duka pasukan bola sepak cacat penglihatan yang melakar kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017 untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak cacat penglihatan dunia.

Saksikan filem EOTB di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 bermula 20 Ogos 2020.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem ini, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.