Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itu yang dilalui penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad yang terpaksa reda apabila kehilangan dua insan tersayang dalam satu kemalangan maut di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Jawi semalam.

Siapa sangka, kepulangannya ke kampung halaman berakhir dengan insiden tragis sehingga meragut nyawa bayi lelaki dan ibu mentuanya.



Ternyata, semalam merupakan hari duka buat seluruh keluarga Syafiq dan juga peminat bola sepak tanah air yang berkongsi rasa sedih dengan berita menyayat hati tersebut.

Berikut Gempak kongsikan rangkuman berkaitan insiden duka pada 6 Disember yang menyelubungi keluarga Syafiq yang juga merupakan pemain Harimau Malaya:


#1 Kebumi satu liang lahad



Jenazah Muhammad Aisy Saqeef yang berusia 22 hari dan ibu mentua Muhammad Syafiq Ahmad, Zainab Wahab, 46, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Murai, Pendang kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Kedua-dua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad.


#2 Isteri ditolak atas katil wad beri kucupan terakhir


Isteri Muhammad Syafiq Ahmad, Nur Amalina Norain yang turut sama cedera dalam kemalangan tersebut ditolak di atas katil ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang bagi memberi kucupan terakhir kepada jenazah anaknya, Muhammad Aisy Saqeef yang berusia 22 hari.


#3 Bendera JDT dikibar separuh tiang



Sebagai tanda penghormatan, Tengku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bertitah agar bendera JDT di Stadium Sultan Ibrahim dikibarkan separuh tiang, stadium diterangi lampu putih selain ucapan takziah dipaparkan pada skrin besar.


#4 "Mana Aisy...Aisy sudah tiada"



"Mana Aisy..Aisy sudah tiada". Ini antara bait-bait kata yang dilafazkan pemain JDT itu ketika menunggu jenazah anak lelakinya, Muhammad Aisy Saqeef di perkarangan Unit Forensik, Hospital Sungai Bakap, Nibong Tebal.

Bahkan, menurut adiknya, Muhammad Zulfadhli, Syafiq masih trauma dan sukar menerima insiden yang meragut tiga nyawa itu.

Syafiq juga dikatakan enggan bercakap dengan sesiapa selain dilihat hanya mampu menangis setiap kali didatangi saudara mara dan kenalan yang bertanyakan keadaannya.




#5 Ayah Syafiq tak sempat tatap wajah cucu lelaki pertama



Bapa penyerang JDT itu, Ahmad Ibrahim, 56, tidak berkesempatan untuk menatap wajah cucu lelaki pertama dalam keluarganya itu.

Bahkan, katanya, dia sebenarnya merancang untuk ke Johor bersama ahli keluarganya yang lain bagi melawat anak kedua Syafiq.





#6 Arwah isteri minta kemas rumah



Bapa mentua Syafiq, Norain Shahadan,50 memaklumkan bahawa arwah isterinya, Zainab Wahab, 46, ada menghubunginya sebelum pulang ke kampung.

Katanya, isterinya yang sudah berada di Johor sejak perayaan Deepavali lalu itu meminta agar dia mengemaskan rumah, namun tidak menyangka dua insan tersayang itu pulang sebagai jenazah.

Bahkan, katanya, dia hanya sempat menatap wajah cucu barunya itu menerusi kumpulan WhatsApp keluarga sahaja.




Sumber & Foto: Bernama & Harian Metro