It's Monday! Saya kembali menulis ruangan ini sekadar untuk berkongsi sedikit apa yang berada di fikiran.

Kali ini, #ListenToAided mengutarakan satu persoalan, antara bakat dan rupa, mana yang dilihat dahulu pada seorang penyanyi?

Jika diperhatikan, berdekad lalu, perjalanan industri muzik tanah air menyaksikan aura dan pesona yang ada pada dua biduanita negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Kemudian, diikuti penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Pada pendapat saya, ya, tiga nama besar negara ini mempunyai bakat dan kualiti karya yang tiada tandingan, mereka telah menerima pengiktirafan yang sepatutnya. Tetapi siapa yang dapat menafikan mereka juga punya rupa paras dan personaliti yang menarik?

Kita ambil contoh apa yang berlaku dalam industri hiburan hari ini pula, ada artis yang sukar naik dan kemudian lebih ramai memberi perhatian kepada penyanyi yang tiba-tiba muncul di media sosial, sedangkan usaha seseorang artis yang sudah lama berkecimpung dalam industri juga bukanlah mudah.

Apakah faktornya? Adakah semata-mata disebabkan genre lagu penyanyi yang muncul di platform media sosial lebih catchy?

Saya bukanlah menentang kehadiran artis dari media sosial, malah, mereka juga layak dihargai dan diminati sekiranya betul-betul berbakat dan menepati ciri-ciri seorang penyanyi.

Lihat pula contoh sesama artis yang sudah bertapak dalam industri, memang ada juga yang kurang mendapat perhatian gara-gara ada artis lain yang lebih elok paras rupa.

Bagi saya, jika masih ramai di antara kita yang masih mementingkan rupa paras berbanding bakat, itu tersangat ketinggalan zaman.

Untuk bergelar anak seni, bakatlah yang harus sentiasa diutamakan, paras rupa itu boleh dihias dan disolek, saya juga percaya, setiap seorang daripada kita dikurniakan kelebihan dan keindahan rupa masing-masing, ciptaan Allah SWT itu indah.

Banyak lagi aspek yang boleh dinilai pada seorang penyanyi mahupun artis dalam bidang lain, contohnya personaliti, kualiti vokal, fesyen, gaya persembahan, disiplin, cara melayan peminat, sumbangan kepada masyarakat dan macam-macam lagi.

Jadi, kepada yang melihat rupa melebihi aspek lain, saya harap golongan seperti ini boleh membuka mata.

Sekian sahaja coretan saya dalam kolum kali ini, semoga kita berkesempatan bertemu dalam #ListenToAided minggu hadapan.

*NOTA: #ListenToAided membincangkan perkara-perkara berkaitan dunia muzik tempatan dan antarabangsa yang ditulis berdasarkan pendapat/pandangan penulis secara peribadi. Penulis juga menghormati sekiranya pembaca mempunyai pandangan yang berbeza atau bertentangan.

Foto: VideoHive