Laman Utama

Menjawab Lapan Spekulasi & Fitnah Di Media Sosial, Peguam Pengasas Rumah Bonda Tampil Beri Penjelasan

gempak
Azwa Rahman
17/07/2021
12:45 MYT
Sponsor Banner
Menjawab Lapan Spekulasi & Fitnah Di Media Sosial, Peguam Pengasas Rumah Bonda Tampil Beri Penjelasan
Setelah pihak polis gagal mendapat perintah reman terhadap pengasas Rumah Bonda dalam membantu siasatan kes penderaan seorang remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU), pelbagai spekulasi mengenai wanita yang dikenali sebagai Siti Bainun dibuat di laman sosial.
Peguambela dan peguamcara bagi pihak pengasas Rumah Bonda Siti Bainun, Aminahtul Mardiah tampil menjelaskan dan memberikan fakta di atas isu penderaan Bella yang tular di media sosial.
Sepanjang namanya hangat diperkatakan, Siti Bainun berdiam diri atas nasihat peguam-peguam yang mewakili dirinya dan Rumah Bonda.
Namun menurut Aminahtul, tindakan berdiam diri tersebut telah membuka ruang ramai pihak yang mengambil kesempatan dalam membuat pelbagai spekulasi dan fitnah yang tidak berasas.
Di sini disertakan tujuh isu yang berkaitan dengan Siti Bainun serta penjelasan pihak peguam yang mewakili.
Isu berkaitan penderaan ke atas Bella;
Pertamanya, merujuk kepada isu berkaitan penderaan yang dilakukan ke atas Bella, pendirian beliau masih kekal bahawa tiada sebarang penderaan berlaku dan memandangkan isu ini masih dalam siasatan PDRM dan pertimbangan pihak pendakwaan, beliau akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa atas segala urusan yang berkaitan.
Namun demikian, umum harus mengetahui bahawa tindakan penyebaran gambar-gambar serta video yang menunjukkan tubuh Bella adalah melanggar peruntukan undang-undang yang digariskan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001.
Isu berkaitan laporan polis yang dibuat oleh Zurianty berkenaan kematian adik Adam;
Berkaitan dengan laporan polis yang dibuat oleh individu bernama Zurianty Sudin berkenaan seorang kanak-kanak dengan nama Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim, Cik Bainun ingin menegaskan bahawa pemergian adik Adam bukanlah atas isu penderaan yang didakwa oleh Zuriaty. Adik Adam telah meninggal dunia pada 3 Mei 2020 dan punca kematian adalah Pneumonia in Down Syndrom Baby.
Adik Adam juga mempunyai masalah kesihatan seperti lahir secara pra-matang, Clinical Down Syndrome, Hirschprung’s disease, Larygomalacia, PFO, Atopic eczema possible triggered with sweat and saliva dan poor suckling. Ibu kandung adik Adam juga adalah seorang penagih dadah dan selepas dilahirkan, adik Adam berada di NICU selama empat (4) bulan selepas pembedahan yang dikenali sebagai surgery for stoma bag for Hirshprug Disease yang dilakukan ketika adik Adam berusia 3 bulan.
Dapatan akhir selepas pembedahan adik Adam adalah, resolved AGE, recurrent pneumonia dan Hirshprug Disease-post colostomy. Adik Adam telah keluar masuk hospital sejak itu dan kali terakhir masuk untuk mendapatkan rawatan adalah pada 25 Mac 2020 dan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 3 Mei 2020. Sepanjang adik Adam berada di Hospital,
Cik Bainun adalah satu-satunya individu yang berada bersama adik Adam dan perkara ini diketahui oleh pengadu Zurianty binti Sudin dan ianya diakui sendiri oleh beliau dalam kenyataan di laman Facebook beliau bertarikh 3 Mei 2020 dan 4 Mei 2020 berserta gambar-gambar yang menyampaikan maksudnya tersendiri.
Isu berkaitan lima kanak-kanak yang diletakkan di bawah jagaan serta Rumah Bonda tidak berdaftar;
Isu ketiga adalah berkaitan dengan lima lagi kanak-kanak yang diletakkan di bawah jagaan Rumah Bonda di alamat Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda AF-6 Jalan Kukuban Taman Setapak 53100 Kuala Lumpur oleh Mahkamah Majistret Kanak-Kanak Kuala Lumpur atas permohonan yang difailkan sendiri oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur. Ini membawa kepada isu Rumah Bonda yang dikatakan tidak berdaftar.
Untuk pengetahuan umum, Rumah Bonda didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia sebagai sebuah Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan pada 31 Januari 2019 dan serahan kesemua lima (5) kanak-kanak tersebut dibuat selepas tarikh tersebut. Ini berikutan Rumah Bonda berada dalam proses pendaftaran bagi sebuah Institusi Kebajikan dan telah mendapat kelulusan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada 27 Mei 2021.
Rumah Bonda masih menunggu kelulusan dari dua lagi Jabatan iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan. Sepanjang beroperasi, Rumah Bonda telah membantu dan menyelamatkan 62 orang gadis yang memerlukan bantuan dan perlindungan. Maka penyitaan atau perintah LAK (dikunci) yang dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah tidak wajar kerana status Rumah Bonda adalah dalam pengetahuan mereka.
Isu tohmahan Siti Bainun menjalankan kegiatan penjualan bayi;
Ada tohmahan bahawa Cik Bainun telah menjalankan kegiatan penjualan bayi yang mana dinafikan sekeras-kerasnya. Ini berikutan, Cik Bainun membantu ibu-ibu yang tidak mampu menjaga anak mereka selepas dilahirkan dan membantu mencari keluarga yang layak serta membantu dalam pengurusan pengangkatan mereka selaras dengan keperluan dan peruntukan undang-undang atas permintaan keluarga sendiri.
Kenyataan penjualan bayi yang dibuat ini adalah satu tohmahan yang tidak wajar kerana pihak kami (peguambela dan peguamcara) telah membuat semakan dan berhubung sendiri dengan keluarga yang dibantu oleh Cik Bainun. Dapatan kami adalah serahan di buat secara sukarela dan Cik Bainun telah turut membantu dalam menyelesaikan pembiayaan bil-bil hospital bagi pihak keluarga.
Isu berkaitan anak-anak di bawah jagaan Bainun yang tular dan dipertikaikan;
Kesemua kanak-kanak yang berada dalam jagaan peribadi beliau adalah diserahkan sendiri oleh keluarga mereka kepada Cik Bainun dan Bella pula telah diserahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat secara sukarela kepada Cik Bainun secara peribadi dengan perintah mahkamah pada 14 Julai 2020.
Persoalan bagaimana seorang wanita yang belum berkahwin dan berusia 28 tahun boleh mendapat hak penjagaan adalah satu pertikaian yang tidak wajar ditimbulkan. Ini kerana di bawah garis panduan Jabatan Pendaftaran Negara, seorang wanita berusia 25 tahun ke atas adalah layak mengambil anak angkat de facto selepas memenuhi kriteria yang diperlukan termasuklah dengan pengemukaan Akuan Berkanun Surat Keizinan Pengangkatan JPN.AA07 yang telah dipenuhi oleh beliau bagi mendapatkan kesemua kanak-kanak tersebut.
Walaubagaimanapun adalah dengan berat hati dan kesal beliau menyatakan di sini bahawa akibat dari tekanan yang dilakukan oleh ramai pihak di media sosial, anak-anak ini telah di ambil di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 dengan menggunakan borang 2 pada 15 Julai 2021 untuk jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (Pelindung) sehingga siasatan ke atas Cik Bainun selesai. Maka, persoalan tentang prosedur dan juga kesahihan pengambilan anak-anak ini seharusnya dihentikan serta-merta.
Isu tangkap layar bekas penghuni Rumah Bonda yang disebarkan dan didakwa didera;
Isu keenam adalah berkaitan dengan tangkap layar komunikasi bekas penghuni Rumah Bonda yang disebarkan dengan dakwaan didera yang mana kenyataan ini adalah dinafikan sekeras-kerasnya. Beliau tidak akan menyebarkan sebarang komunikasi yang menjelaskan fakta kejadian tetapi, adalah difahamkan bahawa satu pakatan telah berlaku di antara bekas penghuni yang tidak sehaluan dengan Cik Bainun di Rumah Bonda.
Beliau mempunyai rakaman suara dan tangkap layar komunikasi yang mempelawa dan memaksa bekas penghuni Rumah Bonda untuk membuat laporan polis tersebut. Beliau juga telah menerima laporan polis yang dibuat oleh penghuni yang menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial kini. Perbuatan ini jelas satu percubaan untuk mengeruhkan lagi keadaan dan memberi tekanan kepada PDRM bagi membuat tangkapan atau pertuduhan di pihak pendakwaan ke atas Cik Bainun tanpa menyedari melakukan satu laporan polis palsu adalah kesalahan Jenayah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Lanjutan daripada laporan polis yang dibuat oleh bekas penghuni yang tidak sehaluan dengan Cik Bainun juga, Cik Bainun telah dipanggil untuk membantu siasatan pada 15 Julai 2021 dan telah memberi kerjasama penuh ke atas keperluan siasatan.
Isu tohmahan yang dibuat ke atas Syed Azmi;
Isu ketujuh adalah berkaitan dengan tohmahan yang di buat ke atas Syed Azmi yang juga merupakan Penasihat kepada Rumah Bonda. Beliau berharap Syed Azmi diberikan ruang kerana beliau tidak seharusnya dipersalahkan kerana kenyataan Syed Azmi adalah atas fakta yang berada dalam pengetahuan beliau dan Cik Bainun menjawab kesemua tohmahan atas kapasiti peribadi.
Rumah Bonda yang selama ini telah memberikan pelbagai bantuan kepada masyarakat dan Penasihatnya tidak seharusnya dikaitkan dan diaibkan hanya kerana Cik Bainun diarahkan untuk berdiam diri sehingga siasatan selesai.
Isu penglibatan unsur politik;
Isu penglibatan pihak-pihak berunsur politik di dalam melindungi Cik Bainun adalah tidak berasas dan tidak dapat dibuktikan serta dinafikan sekeras-kerasnya. Penglibatan Cik Bainun dalam aktiviti kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan yang beliau jalankan sejak sekian lama adalah atas kapasiti individu dan atas dasar tanggungjawab sosial bagi membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat dan golongan yang memerlukan bantuan dan tidak terkait dalam apa apa kedudukan beliau dalam mana-mana parti politik.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Cik Bainun adalah terikat dengan undang-undang dan beliau tidak sama sekali melibatkan mana-mana parti politik dalam apa-apa proses perundangan yang sangat beliau hormati.
Terdahulu, tular laporan seorang remaja yang mengalami sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella dipercayai didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.
Kisah menyayat hati itu mendapat perhatian orang ramai yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib Bella dan mewujudkan tanda pagar #justiceforBella di media sosial.
Remaja berkenaan kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah di Seremban, Negeri Sembilan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live