Pelakon dan pengacara Mira Filzah, 28, antara senarai terkini golongan selebriti yang selesai menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca.

Menurut Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman berkata selepas mendapat suntikan vaksin Covid-19 dia mengalami kesan sampingan iaitu demam.

"Alhamdulillah, hari Sabtu lepas Mira selesai ambil dos pertama Vaksin AstraZeneca. Baru hari ini rajin nak post sebab baru baik demam!

"Proses keseluruhan sangat efficient, Mira sampai dalam pukul 11.35 pagi macam tu, habis nak dekat jam 1.00 petang juga tapi tak terasa lama sebab kita sentiasa bergerak dari satu kaunter ke kaunter lain," tulisnya.

Menerusi perkongsian itu, Mira memuat naik hantaran video yang memaparkan proses yang dilalui sehingga selesai mendapat suntikan vaksin.

A post shared by MIRA FILZAH (@mfmirafilzah)


Dalam pada itu, pelakon yang terkenal menerusi drama Bidadari Kiriman Tuhan turut mengingatkan kepada kaum wanita untuk mengenakan pakaian yang sesuai serta mudah ketika hari vaksinasi.

"Mira pakai baju lengan besar, senang nak singsing lengan. Tapi Mira pakai juga arm socks, supaya bahagian nak cucuk sahaja yang terdedah. Lengan tak terdedah.

"Kebetulan dalam cubicle ni, ada seorang pegawai perubatan lelaki, seorang lagi perempuan. Lega Mira pakai arm socks daripada rumah," kongsinya di Instagram Stories.

Terdahulu, beberapa selebriti tanah air selesai menerima suntikan pertama vaksin antaranya Elfira Loy, Azira Shafinaz, Shukri Yahaya, Diana Danielle dan Datuk A. Aida.