Sebuah gambar memaparkan kertas kompaun dikenakan terhadap sebuah masjid yang viral sejak semalam bukan lagi berita palsu.

Ini kerana Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah mengesahkan kompaun yang dikenakan Masjid Sri Maulana, Taman Sri Maulana, Pekan Pahang.

Menurutnya, atas kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya dimaklumkan masjid tersebut tidak mematuhi SOP kerana gagal menyediakan ​pengimbas kod bar MySejahtera dan buku pendaftaran pelanggan.

"Jadi, kompaun dikeluarkan agar masjid lain ambil iktibar.

“Bayaran boleh dibuat oleh pihak masjid dengan pengurangan sebanyak 50 peratus," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan pemantauan berterusan di masjid dan surau negeri ini.

"Kita telah meminta penguat kuasa JAIP memastikan pengimbas kod bar dapat dipamerkan dan diguna setiap individu yang datang ke masjid.

"Mungkin ada berlaku kekhilafan oleh ahli jemaah atau pengurusan, perkara itu di luar jangkaan kita," ujarnya.

Dalam pada itu, menerusi pemantaun Gempak di media sosial, rata-rata netizen dilihat berang kerana satu lagi kompaun telah dikeluarkan pihak berkuasa.

Kebanyakan mereka dilihat masih membandingkan isu kompaun dengan kes yang terdahulu.