Penularan wabak COVID-19 di negara ini pastinya telah memberi impak yang besar kepada semua pihak, baik penduduk tempatan mahupun warga asing.

Jika sebelum ini, ada yang mempersoalkan keperluan untuk menghulurkan sumbangan kepada pendatang asing, namun kita tidak menolak hakitkat mereka juga memerlukan pertolongan yang sama.

Ini dibuktikan oleh seorang chef cilik Danish Harraz bersama bapanya yang bekerjasama membantu menghulurkan bantuan kepada golongan tersebut.

Kisah berkenaan dikongsi menerusi satu posting di Twitter, baru-baru ini.

Menurut Danish, dia dan bapa pada awalnya hanya bercadang untuk berjumpa seorang pekerja asing iaitu Raheem untuk memberinya satu tugasan.

"Namun apabila berjumpa, kami terkejut melihat dia semakin kurus.

"Katanya sudah dua bulan dia dan yang lain tak dibayar gaji jadi mereka terpaksa ikat perut," katannya.

Jelas Danish lagi, mereka telah lama mengenali Raheem dan dia merupakan seorang pekerja asing yang jujur dan jarang meminta upah.

"Ada 60 orang yang berpuasa dirumah kongsi mereka jadi Danish buat mi goreng ayam dan minta my Dad hantar.

"Nanti Danish akan hantar bekalan makanan pada mereka supaya dapat mereka masak seperti biasa," katanya.

Kisah berkenaan kemudian menjadi viral apabila dikongsi sehingga 1,500 kali.

Rata-rata warga maya tersentuh dan bersimpati dengan nasib dialami Raheem dan rakan-rakannya.

Apapun kepada Danish, anda memang hero! Kami di Gempak sentiasa mendoakan kesejahteraan frontliner dan individu yang bertugas ketika penularan wabak COVID-19 ini.

Buat pembaca Gempak, anda juga boleh jadi hero!

Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19.