Gaya Hidup
Nak Bersenam Ketika Berpuasa? Ini Panduan Perlu Anda Amati
Ibadah puasa di bulan Ramadan sering kali dikaitkan dengan tidak bermaya, cepat penat dan tiada tenaga.
Apatah lagi jika di sebelah petang, tenaga mula berkurangan dan segala aktiviti-aktiviti berat di rumah terpaksa ditunda.
Begitu juga dengan aktiviti senaman atau joging yang kebiasaannya akan memenuhi waktu lapang kita setiap pagi atau petang.
Pun begitu, tiada alasan untuk kita tidak kekal aktif dan cergas sewaktu menjalankan ibadah puasa. Apa yang pasti, kaedah dan cara itu perlu dititikberatkan agar ia tidak membawa kesan negatif terhadap tahap kesihatan badan kita.
Memetik laporan Astro Awani, berikut perkara yang wajar diambil kira sebagai panduan sekiranya anda ingin bersenam atau berjoging sepanjang bulan Ramadan:
1. Bila waktu sesuai untuk anda bersenam?
Anda tidak dinasihatkan untuk bersenam ketika sedang dalam tempoh berpuasa. Namun, antara waktu yang sesuai untuk anda menjalankan aktiviti bersenam ialah selepas berbuka puasa, selepas solat terawih dan sebelum bersahur.
Ini kerana, menurut pakar kecergasan, Kevin Zahri, tenaga dalam badan ketika waktu tersebut mencukupi untuk menghadapi aktiviti fizikal.
Kevin, bagaimanapun, berpendapat bahawa aktiviti senaman wajar dikurangkan atau dihentikan terus sepanjang Ramadan.
Ini bertujuan untuk merehatkan badan yang sudah aktif sepanjang tahun serta membolehkan badan membaiki setiap kerosakan yang berlaku sebelum ini pada badan kita.
2. Berapa lama tempoh senaman yang disyorkan?
Memetik artikel dari portal HelloDoktor, waktu senaman perlu dihadkan kepada 30 hingga 45 minit sahaja untuk satu sesi.
30 minit bagi senaman berintensiti tinggi manakala 45 minit untuk senaman ringan atau sederhana sahaja.
Walau bagaimanapun, penting untuk anda melihat kepada keadaan badan anda juga. Anda dinasihatkan untuk berhenti dan berehat sekiranya badan mula menunjukkan letih-letih.
3. Berapa kerap perlu anda bersenam?
Selain tempoh, kekerapan bersenam juga perlu diambil kira. Sebagai contoh, anda perlu menetapkan berapa kali senaman ingin dilakukan berselang hari dalam masa seminggu.
Kekerapan yang ideal ialah tiga hingga empat kali seminggu seperti yang disyorkan oleh pakar.
Bagi golongan warga emas atau golongan yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, asma dan penyakit gugup (anxiety), dapatkan khidmat nasihat doktor atau jurulatih kecergasan mengenai rutin senaman anda ketika bulan puasa ini.
4. Apa jenis senaman yang boleh anda lakukan?
Senaman kardio yang berintensiti tinggi seperti High-Interval Intensity Training (HIIT),Tabata atau sukan kompetitif adalah tidak disarankan ketika sedang berpuasa.
Namun, senaman dalam kategori berintensiti rendah seperti joging perlahan, berjalan atau sukan kasual masih digalakkan.
Walau bagaimanapun, Kevin mengingatkan bahawa senaman ringan tersebut seeloknya dilakukan di dalam rumah sahaja.
Ini kerana, katanya, cuaca panas dan lembap di negara ini bukan keadaan yang sesuai untuk beriadah terutamanya ketika berpuasa.
5. Adakah solat terawih juga dikira bersenam?
Menurut Kevin, pergerakan solat membakar kalori. Namun, jelasnya, ia bukanlah objektif utama untuk dijadikan sebagai aktiviti kecergasan.
Walaupun pihak kerajaan baru-baru ini mula memberi kebenaran aktiviti sukan yang tidak melebihi 10 orang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai perlu sentiasa mematuhi langkah-langkah pencegahan wabak COVID-19.
Kementerian Kesihatan juga ada mengingatkan bahawa tempat paling selamat dalam keadaan sekarang ialah di rumah. Jadi, tiada alasan untuk anda tidak kekal cergas ketika sedang berpuasa di rumah.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video