Tinggal kurang daripada tiga hari saja lagi drama bersiri premium Projek: Anchor SPM bakal ditayangkan di Astro Citra.

Selain menampilkan jalan cerita yang berbeza, drama ini juga menjanjikan gaya penyampaian lebih berkualiti hasil gabungan dua pengarah hebat, Razaisyam Rashid dan Anwari Ashraf.

Malah, menerusi tinjauan Gempak di YouTube, rata-rata peminat dilihat tidak sabar menantikan tayangan Projek: Anchor SPM bermula 15 Mac ini.

Kebanyakan mereka memuji sedutan trailer rasmi dimuat naik baru-baru ini yang disifatkan sebagai karya next level buat sesebuah drama khususnya di Malaysia.

“Saya nak yang begini jadi drama ditayangkan dalam tv, bukan drama cinta tak tentu pasal cerai, kahwin balik, curang, jadi waris company segala”

“Tak sabar! Cinematography, colour grading nice, skrip tak kaku and tak cliche”

“Bagi aku, it's a fresh story. Aku tak rasa pun citer ni sama mcm bad genius. Walaupun konsepnya sama,tak semestinya jalan ceritanya sama. So, i think it's a good storyline,” tulis beberapa netizen.

Untuk rekod, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Apapun, saksikan ‘Projek: Anchor SPM akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 15 Mac ini.

Untuk pilihan alternatif, penonton juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.