Pasukan COVID-19 Hospital Sungai Buloh, Selangor menerima pengiktirafan Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020 berikutan usaha mereka memerangi pandemik itu.

Menerusi laman sosial Twitter, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkongsi berita baik tersebut untuk tatapan umum.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Dr Suresh Kumar (Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit), Dr Shaiful Azman Zakaria (Ketua Jabatan Anestesia & Rawatan Rapi) Hospital Sungai Buloh dan pasukan COVID-19 atas pengiktirafan di Global Health Awards 2020. Negara menghargai dedikasi dan pengorbanan semua. Alhamdulilah,” tulis Noor Hisham menerusi ciapan berfoto.



Sejak pandemik melanda negara pada Mac 2020, Hospital Sungai Buloh telah ditetapkan sebagai hospital utama COVID-19 Malaysia.

Memetik laporan Bernama, Dr Suresh Kumar mempunyai pengalaman lebih 15 tahun sebagai perunding penyakit berjangkit di Hospital Sungai Buloh manakala Dr Shaiful Azman mengkhusus dalam bidang anestesiologi dan rawatan rapi sejak 1996 dan pernah bekerja di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kelantan.

Dr Sureh Kumar pula baru-baru ini berada di Sabah bagi membantu membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri itu.

Menurut laman sesawang Anugerah Kesihatan Global, anugerah Asia Pasifik serantau itu bertujuan untuk mengiktiraf syarikat dalam pelbagai pasaran serantau yang mengekalkan piawaian yang tinggi secara konsisten dalam menyampaikan penjagaan berkualiti untuk menggembirakan pelanggan mereka di setiap peringkat dan dalam setiap interaksi.