Laman Utama

#OhAbeNik Puas Sangat Layan Muzik Tradisional, Tarian Tertib Junjung Tradisi

gempak
Amri Hassan
01/10/2022
11:45 MYT
Sponsor Banner
#OhAbeNik Puas Sangat Layan Muzik Tradisional, Tarian Tertib Junjung Tradisi
Indah dan memukau, itu tafsiran yang takkan lekang daripada bibir setiap daripada kita tiap kali lagu-lagu dan tarian tradisional dipersembahkan.
Baru-baru ini, Abe Nik berpeluang menyaksikan persembahan Junjung Tradisi - A Night With UTP Stars. Sepertimana namanya, persembahan di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas itu dipersembahkan sendiri oleh artis-artis Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang menggelar diri mereka UPAG (UTP Performing Arts Group).
Abe Nik tak meletakkan sebarang ekspektasi, memandangkan ia melibatkan persembahan oleh wakil penuntut di universiti itu sendiri, namun Abe Nik salah! Mereka memberikan persembahan bertaraf bintang!
Bagi Abe Nik yang sering 'dimomokkan' dengan persepsi orang sekarang 'muzik tradisional, tarian-tarian tradisional dah outdated', ia sangat tidak tepat!
Dewan terisi penuh, energi dan sorakan tak putus-putus dari penonton yang hadir. Paling indah, audiens yang berkunjung pula berbilang bangsa dan usia. Ah! Indahnya budaya kita...
Pentas dibuka dengan overture Tari Adat Melayu, satu tarian kreasi baharu yang bercirikan gerak tari Melayu tradisional. Lagu yang melatari persembahan pembukaan itu pula pernah suatu ketika dipertontonkan dalam Bangsawan Tun Fatimah di Istana Budaya.
Penonton terus dipersembahkan dengan Joget Gamelan Topeng, tarian tradisional yang biasanya ditarikan di istana sekitar Pahang dan Terengganu.
Tidak lari jauh dari tunjang utama acara itu, penonton turut dijamukan dengan lunak suara bintang-bintang UPAG dalam beberapa rendisi lagu-lagu tradisional antaranya Zapin Madah Pusaka, Inang Godampol dan Susuk Angin.
Malah, lagu keroncong Kasih yang pernah dipopularkan oleh Hetty Koes Endang turut sama berlagu di pentas itu. Masing-masing kalau diperhatikan turut ikut sama menyanyikan lagu 'berhantu' juri Gegar Vaganza itu.
Kalau nak tahu, lagu Kasih pada mulanya diciptakan oleh Richard Kyoto pada tahun 1986 untuk penyanyi Indonesia, Ermy Kulit dalam ritma bossa nova.
Setahun kemudian, ia dirakamkan semula oleh Hetty dalam versi keroncong seperti yang kerap kita dengar ketika ini.
Penonton terus hanyut dalam alunan klasik gamelan oleh kumpulan Sanggar Kirana. Aksi mereka bukan hanya bermain alat muzik tradisional itu, lincah dan mengagumkan seperti melihat episod demi episod cerita.
Mereka mempersembahkan lagu Isang (dikutip dari perkataan Melayu lama bermaksud gotong royong), Gegar; yang disuntik sedikit elemen moden dan Antara Selat yang paling Abe Nik tunggu-tunggu!
Antara Selat diinspirasikan daripada situasi sepasang kekasih yang menunggu masa untuk bertemu, mereka meluahkan rasa teruja itu beriring muzik-muzik gamelan.
Yang indahnya tentang komposisi Antara Selat ialah gabungan dua jenis gamelan iaitu Gamelan Melayu dan Gamelan Jawa dengan teknik mipil dan gembyang. Cara nyanyian penyanyi juga beradun dengan teknik Jawa dan Melayu. Cantik!
Sepertimana setiap persembahan rampaian Melayu yang bermula dengan Inang, Zapin dan Joget, Junjung Tradisisi juga diakhiri dengan muzik rancak Joget Selayang Pandang; sebuah lagu Melayu Deli yang diberikan komposisi muzik segar dan tarian kreasi baharu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024