Sebuah filem tamil Raatchasi menerima pujian netizen apabila memaparkan dilema sebenar warga pendidik.

Menerusi laman sosial Facebook, seorang pengguna bernama Shahrol Nizam berkongsi entri ulasan peribadinya terhadap filem tamil yang mengangkat isu berat sistem pendidikan di India.

Menurutnya lagi, ada empat isu besar yang diketengahkan oleh pengarah filem iaitu perbezaan pendidikan, sikap guru kerajaan dan swasta, ketaksuban kasta punca anak-anak saling bermusuhan serta campur tangan politik dalam institusi pendidikan.

Ditambah pula dengan dirinya seorang guru, Shahrol akui skrip dan jalan cerita filem ini begitu dekat di hati.

Filem ini dijayakan oleh Jyotika sebagai Gheeta Rani, seorang guru yang dipindahkan ke sebuah sekolah di kampung terpencil di selatan India.

“Pada aku filem Raatchasi ni cukup perasanya. Ada thriller sikit, ada komedi, ada juga bahagian yang sedih.

Pandai penulis skrip merancang siapa sebenarnya Gheeta Rani ni sehingga begitu hebat sampai mampu berlawan dengan samseng yang mengerahkan murid-murid miskin menjadi buruh paksa!

Siapa sebenarnya Gheetha Rani ni? Yang ni kalian kena tengok sendiri,” tulisnya pada ulasan filem tersebut.

Malah, dia turut meminta guru-guru yang lain untuk menonton filem ini sebagai inspirasi.

“Filem ini hadiah kepada semua warga pendidik di seluruh dunia. Benar-benar memberi inspirasi dan terima kasih kepada penulis cerita ini yang memaparkan realistik dunia pendidikan di sekolah.

“Kita tak mampu nak ubah sistem, tapi kita boleh ubah masa depan anak murid kita dengan pendidikan,” ujarnya yang begitu terkesan dengan filem tersebut.

Entri ulasan filem tersebut sehingga kini telah mendapat hampir 9,000 perkongsian di Facebook.

Filem Raatchasi kini bersiaran di Astro Box Office Thangathirai HD saluran 241.