Jika sebelum ini Covid-19 menjadikan dunia bersih daripada kotoran alam sekitar, namun berbeza pula kali ini.

Dianggarkan lebih 1.56 bilion pelitup muka yang digunakan untuk mencegah penularan Covid-19 menjadi ancaman kepada hidupan laut apabila 'membanjiri' lautan.

Menurut laporan CGTN, pelitup muka kemungkinan memasuki lautan kita dan dan akan berlonggok dalam skala besar seperti puncak gunung.

Ini kerana pelitup muka itu adalah jenis bukan boleh biodegradasi dan diperbuat daripada polipropilena dengan anggaran jumlah berat keseluruhan antara 4,680 dan 6,240 tan metrik.


Berdasarkan kenyataan dikeluarkan pengarah penyelidikan OceansAsia, Teale Phelps Bondaroff, pelitup muka dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 450 tahun untuk terurai.

“Selain itu, mikroplastik yang dikeluarkan daripada pelitup muka itu akan memasuki rongga hidupan laut yang memberi kesan buruk kepada kitaran hidup haiwan,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 4,680 hingga 6,240 tan metrik pelitup muka itu hanyalah sebahagian kecil daripada anggaran lapan hingga 12 juta tan metrik plastik yang memasuki lautan, setiap tahun.

Difahamkan, kira-kira 52 bilion pelitup muka dihasilkan pada 2020 sebagai sebahagian usaha pencegahan wabak Covid-19.

Apapun, buanglah penutup muka di tempat yang betul.