Enggan mencetuskan ketegangan antara peminat, penyanyi Wany Hasrita tampil menjelaskan maksud sebenar kenyataannya ketika siaran langsung rancangan MeleTOP malam tadi.

Kata Wany, dia sebenarnya tidak mahu meletakkan harapan terlalu melangit memandangkan lagu yang bertanding dalam kategori sama dengannya bukan calang-calang.

"Janganlah interpret macam itu, maksud saya kategori itu banyak lagu yang power, jadi memang taklah dapat.

"Jadi saya ke tepikan diri gitu!

"Maaf mungkin cara saya cakap salah sampai orang boleh salah faham. Minta maaf ya.

"Takkanlah saya nak cakap macam tu depan TokTi. Kita semua hormat dan sayang dia," katanya menerusi akaun Twitternya.

Kenyataan Wany itu bagi menjawab ketidakpuasan hati peminat penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berhubung kata-kata Wany seolah-olah memperlekehkan penyanyi senior dengan memberikan laluan bertanding.

"Saya tak ada tekanan, saya bagi laluan... Dari awal saya tercalon tak pernah menang jadi rasa, tak apa. Okey je," jawab Wany ketika disoal Siti yang menjadi hos undangan MeleTOP malam tadi.

Wany yang tercalon dalam kategori Lagu MeleTOP, Penyanyi MeleTOP dan Penyanyi Duo MeleTOP.

Lagu nyanyian Wany berjudul Terlalu Memuja turut bersaing sama dengan Siti untuk lagu Anta Permana dalam kategori Lagu MeleTOP.